Friday, July 28, 2017

3973) Harga terangkum akan lindungi hak pengguna - Hamzah - Astro Awani - 27/7/2017




PUTRAJAYA: Kerajaan akan mewajibkan setiap iklan perkhidmatan untuk mempamerkan harga terangkum iaitu semua semua cukai di dalam satu harga yang sebelum ini diasingkan dari harga dipamerkan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, ia akan dimulakan dengan restoran dan perhotelan sebelum sektor perkhidmatan lain di dalam negara.

Jelasnya, perincian lain akan dibuat selepas kementeriannya mengadakan pertemuan dengan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari masa ke masa.
 
"Sesiapa sahaja yang melakukan pengiklanan, dia mesti mengambil kira tentang segala cukai yang diperlukan, GST, cukai perkhidmatan dan semua yang mereka mahu.

"Mereka mesti masuk dan iklankan harga terangkum ini dan tidak perlu memberi perincian lagi.

"Ia akan memudahkan rakyat untuk membuat perbandingan sesuatu harga. Rakyat akan tahu yang mana lebih mahal dan yang mana lebih murah," katanya semasa sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan KPDNKK Sesi Julai di sini hari ini.

Jelasnya, pindaan itu akan dibuat terhadap Akta Perihal Dagangan 2011 yang bakal dibentangkan di Parlimen pada sesi kali ini.

Menurutnya, langkah tersebut dilihat dapat memberi keadilan kepada pengguna dengan membayar harga barangan yang sudah terangkum dengan caj-caj sama seperti yang dipamerkan atau diiklankan.

Hamzah turut memberitahu, peniaga yang tidak tidak mematuhi arahan itu berkemungkinan turut berdepan denda sehingga RM100,000.

Sebelum ini, Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, pindaan akta berkenaan tidak lagi boleh memberi ruang kepada golongan peniaga untuk melakukan penipuan demi mengaut keuntungan berganda.

http://www.astroawani.com/berita-bisnes/harga-terangkum-akan-lindungi-hak-pengguna-hamzah-150590

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL