DAKWAAN mengenai lelaki dikenali sebagai 'Raja Samsul' menjadi dalang penipuan isu pajakan kenderaan antara pemilik dengan syarikat AGR Auto Trade Sdn Berhad (AGR) akan disiasat polis jika ada laporan mengenainya.
Ketua Polis Selangor Datuk Mazlan Mansor berkata, siasatan akan dibuat berdasarkan laporan yang diterima.
"Kita harap isu itu (pajakan kenderaan antara pemilik kenderaan dengan AGR) tidak dipanjangkan lagi berikutan matlamat pemajak untuk dapatkan kenderaan mereka sudah dibincangkan oleh kedua-dua pihak (Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan AGR).
"Bagaimanapun, jika ada laporan mengenai isu ini lagi polis sedia untuk terus menjalankan siasatan ," katanya pada sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Kajang di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang, hari ini.
Asisten Komisioner Ahmad Dzahffir Mohd Yussof dilantik Ketua Polis Daerah Kajang menggantikan Senior Asisten Komisioner Othman Nanyan yang dinaikkan pangkat sebagai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang.
Menurutnya, kertas siasatan mengenai pencerobohan di stor penyimpanan kenderaan AGR sudah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya.
Beliau menasihati orang ramai supaya prihatin dengan lokasi penyimpanan kenderaan yang disewa beli dengan syarikat kewangan.
"Menjadi kesalahan mengikut Akta Sewa Beli jika pengguna menyimpan kenderaan di tempat lain selain alamat yang sudah termaktub dalam perjanjian dengan syarikat kewangan berkenaan," katanya.
Isnin lalu, PPIM dan AGR sepakat untuk menyelesaikan isu pajakan kereta dengan memulangkan semua kereta dan kunci pendua kepada pemajak.
Isu itu selesai selepas PPIM berunding lebih tiga jam di pejabat AGR untuk menuntut hak pengguna.
Hasil rundingan, lima kereta dan 53 kunci pendua milik pemajak diserahkan semula selain pemajak dibenarkan membuat pembatalan kontrak.
Ketika perbincangan itu juga timbul nama 'Raja Samsul' yang didakwa sebagai pemilik lama AGR dan dalang penipuan pajakan kereta di syarikat berkenaan.
No comments:
Post a Comment