PETALING JAYA: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) rasa terhina selepas disiasat kerana menceroboh sebuah syarikat pajakan kenderaan baru-baru ini.
Pengarah Unit Tindakan Khas PPIM Yusuf Azmi berkata kenyataan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar itu berat sebelah.
“PPIM bukan persatuan ceroboh. Kita ada etika dan panduan. Kita ada 25 peguam bersama kita,” katanya kepada FMT.
“Apa yang dikatakan KPN – bagi saya – berat sebelah, dan saya sedih dan kecewa. Kita bukan musuh dengan polis.”
Khalid hari ini berkata polis menjalankan siasatan ke atas PPIM yang mengambil tindakan sendiri dengan menceroboh ke syarikat berkenaan tanpa merujuk kepada polis.
PPIM menghantar 5 anggotanya bersama 2 pengamal media bersama 100 lebih mangsa bagi melakukan serbuan terhadap sebuah syarikat pajakan kenderaan 10 Julai lalu. Dalam serbuan itu, mereka mengambil 56 kenderaan yang disimpan dalam gudang syarikat.
Dua hari kemudian polis Selangor membuka kertas siasatan berhubung “pencerobohan” gudang itu dan menasihatkan mana-mana pihak supaya tidak mengambil tindakan sendiri dan membelakangkan undang-undang.
Khalid menafikan dakwaan PPIM mengatakan polis tidak mempedulikan laporan pengadu, dan menjelaskan mereka mengikut proses yang ditetapkan.
“Apabila ada laporan, kita cari saksi, rakam percakapan…kita kena jalankan siasatan, kumpul keterangan sebelum memajukannya siasatan itu kepada pejabat peguam negara untuk mereka buat keputusan seterusnya sama ada nak tuduh atau tidak,” kata Khalid lapor Harian Metro.
PPIM bagaimanapun tidak berpuas hati dengan penjelasan itu. Yusuf berkata PPIM akan ke SPRM bersama pengadu terlibat, sama ada polis ambil tindakan atau tidak terhadap kes mereka.
“Kita akan buat laporan SPRM bersama mangsa,” kata Yusuf.
No comments:
Post a Comment