Kuala Lumpur 25 Julai- Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengistiharkan perang membanteras kegiatan kongsi gelap habis-habisan di negara ini berikutan tindakan segelintir ahli pertubuhan haram yang dilihat berani mencabar pasukan keselamatan itu.
Perkara itu ditegaskan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar yang turut menjelaskan pihaknya tidak akan menunduk dengan sebarang provokasi anggota kongsi gelap hanya kerana mereka tertekan dengan Op Cantas Khas yang kini digerakkan secara besar-besaran.
Sambil mengulangi amaran beliau sebelum ini, Khalid mengingatkan, perbuatan mencabar PDRM itu hanya akan mengakibatkan mereka lebih cepat diseret ke muka pengadilan.
“ Mereka ini (kumpulan kongsi gelap) sengaja untuk menunjukkan diri relevan sebagai ahli geng. Saya hendak nasihatkan, mereka ini tidak akan ke mana kerana akhirnya ke lokap juga.
“ Jadi tidak perlu untuk tunjukkan keberanian jadi ahli kongsi gelap dengan melempar molotov cocktail kepada polis. Jangan cabar kita,” katanya dalam siding akhbar selepas menghadiri Majlis Serah Terima Tugas Pengarah Jabatan PDRM dan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) di mes Pegawai Kanan, Bukit Aman di sini hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan enam kumpulan kongsi gelap Geng 24 berusia 21 hingga 41 tahun yang bertindak ganas dengan melempar molotov cocktail di Ibu Pejabat (IPD) Kuala Muda, Kedah, Sabtu lalu sebelum mereka ditahan pagi Ahad lalu.
Dalam perkembangan berasingan, Khalid juga meminta semua pihak termasuk Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) memberi ruang kepada polis menyiasat kes penipuan kenderaan di Kajang.
Jelasnya, menerusi pasukan khas yang ditubuhkan polis sedang meneliti semua laporan yang dikemukakan oleh pihak berkaitan.
“ Jadi biarlah polis selesaikan dan saya nasihatkan semua pihak termasuk PPIM mematuhi undang-undang. Kalau tidak ada kuasa jangan bertindak,” jelasnya.
Ketika ditanya mengenai hasrat pakatan pembangkang untuk mengadakan perhimpunan di Petaling Jaya 14 Ogos ini, Khalid memaklumkan, pihaknya tidak mempunyai sebarang masalah untuk membenarkanya asalkan tidak melanggar Akta Perhimpunan Aman 2012.
“ Kita tidak ada masalah jika mereka hendak mengadakan perhimpunan. Selagi mereka patuhi akta berkenaan kita tidak akan menghalang, itu yang polis mahu,” ujarnya.
http://www.utusan.com.my/berita/nasional/jangan-cabar-pdrm-khalid-1.507478
No comments:
Post a Comment