Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mendedahkan urusan sambung bayar kenderaan merekodkan kerugian lebih RM1 juta sepanjang 2016.
Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, sistem sambung bayar kenderaan ini diibarat menyambung bala kerana ia membabitkan bayaran bulanan kepada bank tanpa menukar nama dan pemilik alami kerugian selepas syarikat jualan kereta terpakai gulung tikar dan gagal dikesan.
"Budaya sambung bayar kenderaan ini sudah lama menular di negara kita, mungkin dulu tiada pihak yang ambil kesempatan. Biasanya urusan ini berlaku di kalangan adik-beradik dan perkara ini akibatkan ramai muflis.
"Kedua-dua pihak iaitu pemilik asal dan penyewa berisiko ditipu. Ada kes yang sudah bayar bertahun-tahun akhirnya pemilik asal mengambil semula kenderaan atau ada juga yang pemilik asal jadi mangsa tanggung beban saman apabila penyewa ghaib," katanya,
Menurut Nadzim, ada juga kes misalnya pembeli baharu bayar sejumlah wang kepada pemilik asal tapi kenderaan itu diseledup ke Thailand pula.
"Macam-macam benda boleh jadi sebab urusan sambung bayar ini tiada perjanjian sah dan diperakui undang-undang.
"Kerajaan wajar gubal undang-undang baru benarkan polisi sanbung bayar ini sah.
"Jika kerajaan terus memandang remeh isu sambung bayar lebih ramai rakyat Malaysia akan muflis. Setakat ini PPIM sudah menerima 260 aduan dengan kerugian setiap seorang RM 10,000 ke atas," katanya.
Pihaknya mencadangkan agar Akta Sewa Beli dikaji semula bagi kemudahan pengguna dari segi mendapatkan pinjaman baharu atau jadualkan pinjaman lama.
Katanya, Bank Negara Malaysia (BNM) perlu mengambil pendekatan mesra pelanggan dengan mengkaji semula syarat bank melelong kenderaan yang kini begitu membebankan.
"Peminjam sudah tak mampu bayar, kereta dilelong, tetapi masih perlu lunas baki secara sekali gus. Saya rasa ini perlu dilihat semula, untuk memudahkan orang ramai," katanya.
No comments:
Post a Comment