Wednesday, July 19, 2017

3923) Ketua Polis Negara Nafi Dakwaan PPIM - MyNewsHub - 18/7/2017

                                           Snapshot(4)

POLIS menafikan tidak mengambil tindakan berhubung aduan pemilik kereta yang dikatakan gagal menuntut semula kenderaan dipajak kepada sebuah syarikat di Kajang, Selangor, seperti didakwa Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, dakwaan itu tidak benar sama sekali kerana setiap laporan diterima akan melalui proses siasatan yang adil dan telus tanpa melindungi mana-mana pihak.

  “Tuduhan (PPIM) mengatakan polis tidak siasat dan tidak ambil peduli laporan adalah tidak benar sama sekali.

  “Ini adalah kerana stiap negara mempunyai undang-undang dan semua lapisan masyarakat tidak kira badan bukan kerajaan (NGO) mahu pun polis sendiri perlu mematuhinya,” katanya memetik laporan Harian Metro.

 Katanya, bila terdapat laporan polis yang dibuat, polis akan menjalankan siasatan mengikut prosedur yang ditetapkan, sebelum memajukan siasatan kepada pejabat Peguam Negara bagi mengklasfikasikan keputusan seterusnya.

  “Kita mesti siasat betulkah seperti mana dalam laporan, apa kesalahan mereka kena siasat. Ini kerana banyak perjanjian di antara orang yang menyewakan kereta mereka dengan syarikat itu, jadi kita kena kaji semua,” katanya.

 Pada masa sama, Khalid turut menyelar PPIM yang mengambil tindakan sendiri dengan menceroboh syarikat berkenaan tanpa merujuk kepada polis.

 Katanya, tindakan itu tidak sepatutnya dilakukan kerana ia di luar bidang kuasa mereka dan polis akan menjalankan siasatan ke atas NGO itu.

  “Kita tidak boleh buat macam samseng, serbu sebarang tempat tanpa alasan. “Kita juga ada terima laporan terhadap mereka dan kita akan siasat tindakan mereka itu yang tidak mengikut undang-undang,” katanya.

 Terdahulu, seramai kira-kira 30 pemilik kereta bersama beberapa aktivis PPIM memecahkan mangga kunci pagar di stor kenderaan syarikat berkenaan dengan tujuan mengambil semula kenderaan masing-masing sehingga berlaku kekecohan.

 Susulan insiden itu, seorang pegawai syarikat terbabit membuat satu laporan polis pada hari sama. Polis daerah Serdang dan Kajang turut menjalankan siasatan ke atas syarikat terbabit susulan 45 laporan yang diterima daripada pemilik kereta yang mendakwa ditipu sebelum ini. – MYNEWSHUB.CC

http://www.mynewshub.cc/utama-sensasi/ketua-polis-negara-nafi-dakwaan-ppim/

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL