|
Dengan bantuan 3.6 juta ahli Rela dalam kerja pemantauan, Diharap aktiviti menaikkan harga barang dapat dibendung secara menyeluruh dan efektif. |
Rela sedia menggerakkan 3.6 juta anggotanya bagi membantu membanteras segelintir peniaga yang tidak bertanggungjawab menaikkan harga barangan secara tidak terkawal.
Ketua Pengarahnya, Kamariah Mohd. Noah berkata, pihaknya sangat mengalu-alukan kerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) sekali gus dapat mengiktiraf keupayaan Rela.
“Saya sangat terharu apabila anggota Rela diberi kepercayaan oleh pihak kementerian untuk sama-sama turun padang bagi membasmi aktiviti penipuan yang dilakukan oleh segelintir peniaga.
“Walau bagaimanapun, pihak kami tidak dapat memberitahu secara terperinci berkenaan kerjasama tersebut sehingga mesyuarat diadakan oleh semua pihak yang terlibat terutamanya KPDNKK,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, anggota Rela akan membantu pegawai penguat kuasa KPDNKK dalam melakukan pemantauan dan operasi kawalan harga bagi memastikan penguatkuasaan dapat dijalankan dengan berkesan dan menyeluruh.
Tambah Kamariah, anggota Rela sedia berkhidmat dan tidak mempunyai halangan untuk bekerjasama dengan mana-mana agensi.
Sementara itu, Ketua Setiausaha KPDNKK, Datuk Seri Alias Ahmad berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan secara menyeluruh bersama Rela dalam tempoh terdekat.
|
KERATAN UTUSAN MALAYSIA, 27 OKTOBER 2015 |
“Mesyuarat akan tertumpu kepada penurunan kuasa yang melibatkan akta-akta KPDNKK. Hal ini bagi memastikan anggota Rela dapat memahami konsep Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011, Akta Perihal Dagangan 2011, penandaan harga barangan, produk tiruan dan sebagainya.
Mengulas lanjut katanya, isu elaun juga akan dibincangkan selain mengetahui kaedah sesuai membabitkan aspek pembayaran.
Langkah kerajaan menggerakkan 3.6 juta ahli Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) membantu pasukan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) melakukan pemantauan harga barangan disifatkan tepat pada masanya.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, dengan kehadiran ramai ahli Rela dalam kerja pemantauan, aktiviti menaikkan harga barang diharap dapat dibendung secara menyeluruh.
“Anggota Rela perlu melakukan pemantauan setiap hari supaya dapat menggerunkan peniaga yang sering mengambil kesempatan dengan menaikkan harga barang sesuka hati sejak pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST).
“Mereka juga perlu menghadiri kursus asas untuk kerja pemantauan yang lebih berkesan supaya dapat mengetahui apa yang perlu dipantau,” katanya. -
UTUSAN