KUALA LUMPUR 29 Mac - Pemandu teksi digesa meningkatkan mutu perkhidmatan kerana sejak tambang dinaikkan beberapa kali dalam tempoh 10 tahun, kualiti pengangkutan awam itu masih tidak mencapai standard sepatutnya.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, pengumuman kenaikan harga tambang teksi baru-baru ini harus disusuli dengan satu kesedaran untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan.
“Ini adalah sesuatu yang tidak adil kepada pengguna apabila mereka membayar lebih tetapi kualiti perkhidmatan teksi tidak memuaskan, contohnya pemandu yang selekeh, teksi tidak bersih dan tidak mesra penumpang.
“Selain penguatkuasaan oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan pihak berwajib, saya berharap pengguna juga ambil peranan untuk membuat laporan terhadap pemandu teksi bermasalah ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Setiausaha Agung Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Datuk Paul Selva Raj berkata, mutu perkhidmatan bas juga harus ditingkatkan untuk mengurangkan kebergantungan pengguna terhadap teksi.
“Sekarang pengguna di bandar kadang-kala terpaksa memilih teksi kerana perkhidmatan bas yang tidak efisien melambatkan perjalanan mereka.
“Tindakan bersepadu harus dilakukan terhadap kedua-dua pengangkutan awam ini bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan yang diberikan kerana mereka seperti rantaian yang berkait antara satu sama lain,” katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr. Jacob George berkata, SPAD dan Kementerian Pengangkutan harus bertanggungjawab menyelesaikan isu yang timbul.
“SPAD dan kerajaan harus menyelesaikan masalah ini atau akan hilang kepercayaan daripada masyarakat yang bertindak sebagai pengguna kerana kami terima aduan mengenai perkara ini sejak dahulu lagi.
“Jika mahu dibandingkan dengan negara luar seperti Singapura dan Indonesia, mutu perkhidmatan teksi kita jauh ketinggalan sedangkan negara mereka hanya mempunyai Kementerian Pengangkutan, tiada badan lain seperti SPAD,” katanya.