Monday, March 30, 2015

2534) ARKIB BERITA PPIM - 20/02/2015 - UTUSAN - Hapuskan 'Tangan Ghaib' Kawal Harga Pasaran


KUALA LUMPUR 19 Feb. – Sudah tiba masanya pihak berwajib mengambil tindakan serius terhadap ‘tangan-tangan ghaib’ atau golongan yang menjadi faktor penentu harga barangan di pasaran. 

Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr. Jacob George berkata, selagi ‘mafia-mafia’ yang mengawal pasaran terus bermaharajalela dan tidak dikenakan tindakan serius, masalah harga barang tidak akan selesai.

“Tarik balik atau gantung lesen untuk berniaga, tunjukkan kepada mereka kerajaan berkuasa.

“Kita tidak boleh berkompromi lagi kerana walaupun pelbagai program telah direncana Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan dan pelbagai pihak lain, masalah ini terus membelenggu masyarakat,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini.

Baru-baru ini, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek berkata, program penurunan harga barangan secara besar-besaran di seluruh negara akan dilancarkan pada 1 Mac ini.

Mengulas mengenai program tersebut, Jacob menyambut baik usaha yang dilakukan tetapi berharap perancangan tersebut disertai dengan audit, pemantauan dan tindakan untuk menjamin keberkesanannya dalam jangka masa panjang.

“Sepanjang 40 tahun saya terlibat dalam bidang kepenggunaan ini, pelbagai program seumpamanya telah dibuat.

“Apa yang saya boleh katakan, saya berharap program ini bukan sekadar publisiti bagi menenangkan masyarakat untuk sementara waktu, tetapi satu pelan proaktif yang boleh membantu menyelesaikan masalah ini keseluruhannya,” kata beliau.

Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM)Datuk Nadzim Johan berkata, program penurunan harga barangan tersebut boleh berjaya sekiranya mendapat kerjasama pemborong dan pengeluar.

“Menurut kajian kami, dalam lebih kurang 2,000 pembekal barangan dalam pasaran, hanya dua syarikat menurunkan harga dan 70 lagi menaikkan harga ba­rangan mereka.

“Saya mendesak pemborong, pembekal dan pengeluar jangan ambil kesempatan dengan mengeksploitasi harga yang nyata tidak menyumbang kepada aspirasi negara,” katanya.


No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL