Kuala Lumpur: “Penipuan ini sepatutnya boleh dielak jika mangsa faham mengenai konsep perniagaan yang mahu dilakukan dan bukan hanya faham bagaimana mendapat keuntungan semata-mata,” kata Pengerusi Pelabur Strategik Melayu Malaysia (PSMM) Norizam Tukiman.
Beliau mengulas laporan muka depan Harian Metro semalam mengenai seorang peserta program realiti televisyen yang kerugian RM140,750 selepas ditipu seorang wanita yang mendakwa menjalankan perniagaan gamat asli bersama keluarganya.
Norizam berkata, seseorang itu tidak akan menghadapi masalah sekiranya dia sendiri membuat inisiatif untuk mengkaji terlebih dulu perniagaan yang akan disertai dan terbabit secara langsung dalam proses perniagaan itu.
Katanya, dalam apa juga pelaburan yang mahu disertai, individu terbabit perlu membuat kajian sendiri terhadap sejauh mana kesahihan pelaburan dijalankan itu supaya tidak tertipu.
“Tiada masalah sekiranya pelabur itu turut serta dalam proses perniagaan, tetapi penipuan yang berlaku akibat terlalu mempercayai orang lain amat berbahaya.
“Tambahan pula jika individu terbabit dikenali sedangkan orang yang sudah lama dikenali juga cenderung untuk menipu.
“Dalam bab pelaburan, saya nasihatkan orang ramai supaya buat kajian sendiri dan jangan mengharapkan orang lain melakukannya untuk kita.
“Untuk mengenali sama ada sesuatu pelaburan itu satu penipuan atau tidak adalah mereka dijanjikan pulangan tetap dan tidak perlu berbuat apa-apa, selain menyediakan wang pelaburan serta pulangan ditawarkan dianggap tidak masuk akal,” katanya, semalam.
Harian Metro semalam, melaporkan mangsa seorang guru agama yang mahu dikenali sebagai Muhammad, 37, berkata, dia dihubungi seorang wanita sebanyak dua kali yang memberi alasan tersalah dail nombor.
Beberapa minggu kemudian dia mendakwa wanita berusia 20-an dan berasal selatan tanah air itu menghubunginya dan mengajar melabur dalam perniagaan yang kononnya dijalankan di sebuah pulau peranginan di Terengganu.
Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan berkata, orang ramai perlu lebih berwaspada kerana terlalu banyak penipuan membabitkan aktiviti pelaburan yang kononnya menjanjikan pulangan lumayan.
Katanya, orang ramai boleh merujuk kepada PPIM terlebih dulu mengenai perkara itu sebelum membuat keputusan tergesa-gesa menyertai sebarang pelaburan.
“Terlalu banyak aktiviti pelaburan diragui seperti diadukan kepada kita sebelum ini seperti pelaburan ternakan ikan, lintah serta cacing. Semua ini membabitkan ratusan juta ringgit dan kita harap orang ramai jangan terlalu mudah percaya,” katanya.
Sumber : http://www.hmetro.com.my/node/34821
No comments:
Post a Comment