Thursday, March 5, 2015

2507) BERITA HARIAN - 03/03/2015 - Pil, Jamu Berlebihan Boleh Bawa Maut


Pengambilan pil makanan tambahan, jamu dan pil perancang secara berlebihan boleh membawa maut kepada ibu dan anak, selain mengakibatkan kecelaruan jantina bayi.
Lambakan pil dan jamu di pasaran, khususnya dari seperti Thailand, China dan Indonesia, yang tidak melalui saringan Kementerian Kesihatan dibimbangi mengandungi kandungan hormon secara berlebihan.
Ketua Seksyen Pencegahan Cawangan Penguatkuasaan Farmasi (CPF) Jabatan Kesihatan Kuala Lumpur, Mohd Shahid Yahaya mengesahkan pengambilan pil dan jamu yang mengandungi hormon berlebihan boleh menyebabkan kecacatan pada genetik dan menjejaskan deria, pertumbuhan tulang serta pembentukan bayi yang dikandung dan disusukan.
Lebih membimbangkan, katanya, produk seperti jamu pantang bersalin, jamu mencantikkan tubuh badan yang dijual secara dalam talian tidak diketahui kesahihan kandungan, dos hormon atau bahan yang mungkin beracun kepada pengguna. "Sebahagian pengguna mengamalkan pil perancang ini untuk mencantikkan kulit seperti selebriti mereka tanpa memikirkan kesannya.
Selebriti daya penarik
"Hakikatnya, taktik pengeluar produk menggunakan selebriti sebagai duta mereka untuk menarik perhatian pelanggan juga tidak boleh mengesahkan sama ada ubat berkenaan sudah diuji selamat digunakan," katanya kepada BH. Beliau mengulas laporan eksklusif BH mengenai pengambilan pil makanan tambahan, pil perancang dan jamu oleh ibu mengandung atau menyusu boleh mengakibatkan kecelaruan jantina bayi dalam kandungan atau selepas dilahirkan.
Pil dan jamu yang mengandungi hormon estrogen dan testosteron berlebihan mengganggu pembentukan organ seksual bayi. Akibatnya, bayi perempuan yang lahir atau membesar akan memiliki ciri kelelakian, manakala bayi lelaki akan memiliki ciri perempuan. Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Datuk Nadzim Johan, berkata pihaknya menerima aduan sekurang-kurangnya ada tiga jenis pil perancang didapati memiliki kandungan hormon secara berlebihan yang menjejaskan kesihatan dan keselamatan pengguna serta bayinya.
"Pil berkenaan dan jamu yang tidak mempunyai kelulusan KKM banyak terdapat di pasaran dan kawalan sukar dibuat berikutan permintaan yang tinggi oleh pengguna. "Sesiapa sahaja boleh membeli pil ini dan jamu tanpa sekatan.
"Sehubungan itu, saya cadang program pendidikan dan kesedaran kepada pengguna diperluas kerana isu ini amat serius untuk generasi akan datang," katanya.

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL