KUALA LUMPUR 26 Feb. – Kehadiran anggota penguat kuasa dalam Operasi Banteras Aktiviti Haram (Ops BAH) Siri Ke-9 di sekitar ibu negara hari ini seolah-olah telah ‘dihidu’ oleh pemilik rumah urut.
Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Adnan Md. Ikhsan berkata, terdapat pemilik rumah urut yang berjaya meloloskan diri dari premis mereka semasa operasi itu.
“Mereka seolah-olah sudah mengetahui operasi ini sehingga ada yang meninggalkan premis namun tidak sempat mematikan suis kipas dan televisyen.
“Bagaimanapun, kita merobohkan struktur yang diubah suai di dalam rumah urut yang diserbu kerana dibina tidak mengikut syarat-syarat lesen Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Ini bagi mencegah mereka daripada mengaktifkan semula kegiatan haram berkenaan,” jelasnya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyertai Ops BAH Siri Ke-9 di sini, hari ini
Operasi dijalankan secara bersepadu melibatkan 322 anggota penguat kuasa DBKL, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen, Agensi Anti Dadah Kebangsaan dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia.
Beberapa pertubuhan bukan kerajaan seperti Persatuan Pengguna Islam Malaysia dan Majlis Belia Wilayah Persekutuan turut menyertai operasi berkenaan.
Menurut Adnan, seramai 32 orang ditahan kerana beberapa kesalahan antaranya menggaji pekerja warga asing tanpa dokumen yang sah, tidak memiliki dokumen perjalanan, menyalahgunakan dokumen perjalanan dan positif dadah.
“Tangkapan melibatkan 13 warga asing dari China, Bangladesh dan Indonesia, enam warga tempatan yang dipercayai positif dadah dan 10 orang ditahan di bawah Seksyen 18 Akta 559 kesalahan minuman memabukkan manakala dua orang tonto turut ditahan,” katanya.
“Selain itu, buat pertama kalinya dalam operasi ini, kita berjaya menangkap seorang pengusaha premis kerana melakukan kesalahan menggaji warga asing yang tiada dokumen perjalanan sah,” katanya.
Jelasnya, fasa pertama Ops BAH Siri Ke-9 memberi tumpuan terhadap membanteras kegiatan rumah urut yang bermula pada pukul 4 petang sehingga pukul 8 malam di Kepong, Seputeh dan Bukit Bintang.
“Fasa dua pula bermula pada pukul 11 malam dan berakhir pada pukul 4 pagi dengan memberi fokus kepada pusat-pusat hiburan,” ujarnya.
No comments:
Post a Comment