Monday, October 16, 2023

KURANGKAN SUBSIDI: BERSEDIAKAH RAKYAT? - UTUSAN MALAYSIA - 16/10/2023



PETALING JAYA: Kerajaan dilihat tidak ada pilihan selain mengurangkan subsidi dalam usaha me­minimumkan beban kewa­ngan sekali gus mencapai status negara maju pada masa akan datang.

Pengurangan itu berdasarkan unjuran keperluan subsidi tahun ini dijangka mencecah RM81 bilion berbanding RM64 bilion yang diperuntukkan da­lam Belanjawan 2023.

Namun, ada juga saranan agar kerajaan meneruskan subsidi tetapi diberikan kepada go­­longan yang benar-benar me­merlukan sahaja selain me­nge­kalkan subsidi barangan ke­perluan asas pengguna.

Bercakap kepada Utusan Ma­lay­sia, Pensyarah Kanan Jabatan Ekonomi dan Kewangan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Melaka, Dr. Mohamad Idham Md. Razak berkata, pengurangan subsidi adalah langkah positif supaya kerajaan menumpukan ke arah pembangunan dan me­rancakkan ekonomi negara.

“Saya maklum bahawa pengurangan subsidi akan memberi kesan terhadap rantaian pendapatan pengguna kerana menyebabkan peningkatan harga barang.

“Pada masa sama, saya lihat pengurangan subsidi ini adalah langkah positif ke arah merancakkan ekonomi negara, mengurangkan beban kewangan kerajaan supaya boleh fokus kepada aspek pembangunan contohnya pengangkutan awam dan lain-lain.

“Jika ditanya pada rakyat khususnya golongan rentan, sudah tentu tidak akan bersedia. Sebab itu, perlu ada budaya perbelanjaan berhemah dan mengikut keperluan. Jangan melaburkan wang ke tempat yang salah,” katanya ketika dihubungi semalam.

Ketua Penganalisis Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Berhad, Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid turut bersetuju dengan cadangan itu kerana negara masih belum mempunyai sistem subsidi yang benar-benar dinikmati golongan selayaknya.

Bagaimanapun, selain pengurangan subsidi, katanya, masih banyak perbelanjaan kerajaan lain yang perlu dilihat semula seperti pembayaran skim pencen untuk penjawat awam.

“Sekarang subsidi dinikmati semua orang tanpa mengira status, malah lebih teruk ia menggalakkan aktiviti penyeludupan dan ketirisan yang hanya merugikan kerajaan.

“Sebab itu kita wajar mempunyai subsidi secara bersasar dan saya yakin kerajaan sedang berusaha ke arah itu,” katanya.

Bagaimanapun, Presiden Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, belum tiba masanya untuk kerajaan mengurangkan subsidi melihat keadaan rakyat yang dibelenggu masalah peningkatan harga barang.

“Subsidi ini beri pada yang benar-benar memerlukan sahaja. Sudah tentu pemantauan dan kawalan itu harus ada. Kalau kita benar-benar melaksanakannya pada yang memerlukan, maka kita (kerajaan) sudah dapat sebahagian besar jumlah wang untuk mengurangkan subsidi kepada yang tidak perlu.

“Selain itu, harus ada program bagaimana cara untuk memperkasa pengguna supaya mengurangkan pembaziran dan menambah produkiviti,” katanya.

Presiden Persatuan Pengguna Kedah (Cake), Mohd. Yusrizal Yusoff pula berkata, perbelanjaan rakyat akan menjadi negatif kerana kos sara hidup sangat tinggi.

“Tidak sesuai kurangkan subsidi sekarang melainkan kerajaan memperkenal skim gaji baharu,” katanya.

Pada 6 Oktober lalu, Anwar dilaporkan berkata, subsidi ditanggung kerajaan untuk rak­yat meliputi antaranya minyak, elektrik dan makanan pada tahun ini dijangka mencecah RM81 bilion.

Katanya, walaupun angka itu cukup tinggi, langkah mengurangkan subsidi bukan pilihan kerana ia akan membebankan rakyat berpendapatan rendah.

Dalam pembentangan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat minggu lalu, kerajaan akan memulakan usaha mengurangkan subsidi tahun depan, kali pertama dalam berdekad kerajaan menangani perbelanjaan yang menjadi punca kepada ketempangan kewangan negara selain ketirisan berbilion ringgit.

Bagi mengurangkan subsidi, Putrajaya akan melaksanakan subsidi bersasar dengan menaikkan tarif elektrik kepada golongan mampu dan rasionalisasi subsidi diesel.

Dalam belanjawan itu, kerajaan memperuntukkan RM52.7 bilion bagi subsidi dan bantuan berbanding RM64.2 bilion pada tahun lalu.

Pemberian subsidi dan bantuan yang dilaksana sejak enam lalu menyebabkan defisit kewangan kerajaan terus melebar manakala pendapatan tidak berkembang sepantas dijangka bagi menampun perbelanjaan.

Kesan subsidi diburukkan lagi apabila hutang dan liabiliti negara melepasi paras RM1.5 trilion, sekaligus memberi tekanan tambahan kepada usaha mengurangkan defisit negara.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM), Prof. Madya Dr. Abu Sofian Yaacob berkata, kerajaan seharusnya memberi subsidi bagi barangan  keperluan asas pengguna.

Ini ekoran situasi yang dihadapi oleh rakyat dalam terpaksa menampung kos perbelanjaan tinggi selain sebelum ini kerajaan telah menarik balik sesetengah subsidi barangan asas.

Katanya, barangan keperluan yang tidak diberi subsidi perlu disenaraikan dalam kumpulan harga barang yang dikawal oleh kerajaan, yang mana harganya tidak boleh dinaikkan sesuka hati.

“Walaupun harga barangan tersebut misalnya ayam dan gula tersenarai dalam kategori harga kawalan, pengguna masih menghadapi krisis berkenaan dengan kenaikan harga barang tersebut,” jelasnya.

Presiden Per­satu­an Suara Konsumer Sarawak (Covas), Michael Tiong pula meminta kerajaan meneliti semula pengurangan subsidi ke atas barangan keperluan yang memberi impak kepada golongan B40.

“Maknanya, subsidi bersasar harus diteruskan pada perkara yang mungkin banyak membantu golongan B40. Subsidi merupakan satu mekanisme yang baik untuk jangka pendek dan bukan jangka panjang.

“Jika ia berpanjangan, kerajaan mungkin akan kekurangan dana dan memberi kesan dalam usaha pembangunan lain demi meningkatkan ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Artikel oleh: Utusan Malaysia

KURANGKAN SUBSIDI: BERSEDIAKAH RAKYAT?

https://www.utusan.com.my/nasional/2023/10/kurangkan-subsidi-bersediakah-rakyat/

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...