Monday, October 9, 2023

WUJUD LESEN 'KENYIT MATA' PBT - UTUSAN MALAYSIA - 09/10/2023

 

PETALING JAYA: Penguasaan warga asing di tapak perniagaan tertentu di negara ini bukan sahaja berpunca daripada lesen ‘ali baba,’ malah dipercayai wujud lesen ‘kenyit mata’ oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) sendiri.

Keadaan itu timbul disebabkan tapak perniagaan tertentu khususnya di ibu negara mula ditinggalkan oleh peniaga tempatan susulan kebanjiran warga asing di kawasan tersebut.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, situasi penguasaan warga asing di beberapa kawasan perniagaan di Lembah Klang disebabkan premisnya mulai kosong apabila peniaga tempatan tidak lagi berminat untuk berniaga di situ.

Katanya, antara puncanya adalah kerana kawasan tersebut secara puratanya hanya dikunjungi warga asing.

“Kita tidak menolak kemungkinan ada peniaga yang ‘mengalibabakan’ lesen perniagaan mereka kepada warga asing ini memandangkan kawasan tersebut pun memang hanya dikunjungi golongan mereka.

“Bagaimanapun, pada masa sama, ada juga aduan yang diterima ada PBT yang memberi lesen secara ‘kenyit mata’ kepada warga asing ini kerana kawasan tersebut tidak lagi disewa oleh peniaga tempatan,” katanya.

NADZIM JOHAN

Dakwanya, ia berlaku di mana-mana dan tidak tertumpu di sesuatu kawasan bukan sahaja di bangunan premis perniagaan bahkan tanah-tanah kosong milik agensi-agensi kerajaan seperti Baitulmal dan sebagainya.

“Asalkan ada tapak kosong, tak ada orang kita hendak sewa, mereka akan beri lesen kepada warga asing. Pada saya, tidak salah kalau hendak buat begitu, namun perlulah mengikut peraturan,” katanya.

Semalam, Mingguan Malaysia melaporkan Kompleks Kota Raya yang dahulu popular dalam kalangan rakyat Malaysia kini sudah bertukar wajah menjadi ‘Kota Manila’ apabila lebih 60 peratus daripada perniagaan di situ dikuasai oleh warga Filipina.

Bukan itu sahaja, beberapa lokaliti perniagaan di ibu negara juga kini dikuasai warga asing antaranya premis Lebuh Pudu, Lebuh Ampang dan beberapa pasar borong di Lembah Klang.

Justeru, Nadzim berkata, PBT perlu melaksanakan ‘pemutihan’ di premis perniagaan khususnya yang kini dikuasai warga asing di kawasan pentadbiran masing-masing dengan mengambil tindakan tegas kepada terhadap pemilik yang ‘mengalibabakan’ lesen mereka.

Sementara itu, Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Nur Asyikin Aminuddin berkata, kebimbangan pihaknya terhadap penguasaan warga asing khususnya di sektor bahan basah seperti di pasar borong adalah pematuhan golongan tersebut terhadap garis panduan dikeluarkan Kementerian Kesihatan (KKM).

Menurutnya, Fomca terbabit secara langsung dengan KKM untuk membuat garis panduan kebersihan terhadap premis perniagaan di sektor makanan, mahu PBT mengambil tindakan tegas jika berlaku ketidakpatuhan daripada peniaga.

“Perkara ini sering menjadi kebimbangan utama pengguna apabila melihatkan kebersihan di kawasan-kawasan perniagaan terutama di pasar borong kerana ia melibatkan soal kesihatan mereka.

“Banyak perkara yang sudah pun tercatat dalam garis panduan tersebut seperti kaedah penyimpanan bahan beku, keperluan peniaga mengambil suntikan tifoid dan sebagainya. Jika ia tidak dipatuhi tindakan tegas perlu diambil,” katanya. – UTUSAN

Artikel oleh: Utusan Malaysia

WUJUD LESEN 'KENYIT MATA' PBT

https://www.utusan.com.my/nasional/2023/10/wujud-lesen-kenyit-mata-pbt/

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...