Wednesday, October 4, 2023

TANGKAP DALANG SEBENAR - PPIM - SINAR HARIAN - 04/10/2023

 

SHAH ALAM - Kerajaan perlu menubuhkan sekretariat atau pasukan petugas khas di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) bagi menangani masalah kekurangan dan harga barangan keperluan rakyat, termasuk beras.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, pasukan berkecuali yang luar daripada sistem sedia ada itu amat penting bagi mengatasi ketirisan maklumat, sekali gus mencari punca utama masalah yang berlaku.

Menurutnya, daripada situ, tindakan lebih tegas dan berkesan boleh diambil, di samping mengenal pasti dalang sebenar sama ada kartel, ‘pengkhianat’ daripada kalangan pegawai kerajaan atau pihak industri.

“Masalah ini berterusan dan bagaikan tiada kesudahan. Saya rasa sudah sampai masanya kita kena ubah pendekatan dengan mencari orang luar daripada sistem untuk tangani isu berkenaan.

“Kita tak boleh guna pendekatan sama. Kalau nak perubahan, perlu lebih bersedia dan tidak boleh orang yang sama dalam sistem. Contohnya, mungkin dalam sistem rantaian sedia ada ini, maklumat boleh dikongsi dengan kartel.

“Sebab itu, saya sarankan pasukan petugas khas diletakkan di bawah JPM agar mereka boleh memantau, menyiasat dan mengambil tindakan yang sewajarnya,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Mengulas lanjut, Nadzim berkata, penguatkuasaan yang dilakukan kerajaan masih lagi tidak memadai.

Malah beliau percaya, masalah itu akan berterusan jika kegiatan kartel masih wujud.

“Penyelesaiannya mudah sahaja, berikan hukuman seberat-beratnya seperti penjara dan denda setinggi mungkin. Tidak kira siapa sahaja yang terlibat, mereka mesti dibawa ke muka pengadilan,” katanya.

AKMAL PERTAHAN DAKWAAN WUJUD KARTEL BERAS

Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Salleh mempertahankan dakwaan wujudnya kartel menipu rakyat berhubung beras hancur dan beras super spesial tempatan (SST).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu berkata, pihaknya telah menyerahkan maklumat tersebut kepada kementerian berkaitan.

“Saya pertahankan dakwaan saya (wujudnya kartel beras) dan telah menyalurkan maklumat yang ada kepada kementerian terlibat untuk tindakan lanjut,” katanya.

Dr Muhamad Akmal dilapor membongkar modus operandi kartel yang menggunakan beras hancur sebagai beras tempatan kerana ia boleh dijual dengan bukan harga kawalan.

Beliau berkata, terdapat perbezaan ketara antara beras SST dan beras hancur.

Sementara itu, beliau menyarankan agar kerajaan Persekutuan mewujudkan semula Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN) bagi mengambil tindakan tegas terhadap pengkhianat beras dan melenyapkan isu kartel beras di negara ini.

Dr Muhamad Akmal juga mengakui yakin LPN dapat menyelesaikan isu berkaitan padi dan beras sekali gus mengurangkan kelompongan yang berlaku.

Sinar Harian pada Isnin melaporkan, Timbalan Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad meminta kerajaan untuk tidak ‘menyebelahi’ kartel dalam isu bekalan beras.

Dalam pada itu, Bahagian Pembangunan Industri Padi (BPIP), Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menafikan dakwaan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengenai kartel yang telah memonopoli input pertanian dan penipuan alat timbangan khususnya dalam industri padi serta beras negara.

Ketua Pengarah Pengawalan Padi dan Beras, Datuk Azman Mahmood pula berkata, BPIP menerusi Seksyen Kawalselia Padi Beras (KPB) mengeluarkan sejumlah 36,492 unit pelbagai lesen dan permit seperti Lesen Borong Beras, Lesen Eksport, Lesen Import, Lesen Kilang Padi, Lesen Membeli Padi, Lesen Beras Runcit, dan Kelulusan Khas Menjual Benih Padi bagi benih padi sah (BPS).

Beliau berkata lagi, jumlah lesen dan permit itu jelas menunjukkan tiada kartel yang dimaksudkan wujud dan mampu memonopoli industri padi dan beras negara sebagaimana yang didakwa.

Artikel oleh: Premium Sinar Harian

TANGKAP DALANG SEBENAR - PPIM

https://premium.sinarharian.com.my/article/228445/fokus/semasa/tangkap-dalang-sebenar---ppim?_gl=1*1px67eq*_ga*NzgyMDE5NjA1LjE2ODYyNzYyNjM.*_ga_4Y13Y7JWS5*MTY5NjM5NDE0Mi4xNTMuMC4xNjk2Mzk0MTQ1LjU3LjAuMA..*_ga_0BGT5MH2FW*MTY5NjM5NDE0Mi4xNTMuMC4xNjk2Mzk0MTQ1LjU3LjAuMA..*_ga_JFLF6LQ1DE*MTY5NjM5NDE0Mi4xNTMuMC4xNjk2Mzk0MTQ1LjU3LjAuMA..*_ga_YJQ7PQLFWV*MTY5NjM5NDE0Mi4xNTMuMC4xNjk2Mzk0MTQ1LjU3LjAuMA..*_ga_NJ6319DRLB*MTY5NjM5NDE0Mi4xNTIuMC4xNjk2Mzk0MTQ1LjU3LjAuMA..&_ga=2.174443234.170802799.1696385935-782019605.1686276263

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...