Friday, October 6, 2023

EKSKLUSIF: LEBIH 30 PEMPENGARUH DIDAKWA PROMOSI JUDI DALAM TALIAN - BERITA RTM - 05/10/2023

 

KUALA LUMPUR, 5 Oktober -'Duduk goyang kaki kat rumah pun boleh dapat duit.'

Itu antara "ayat manis" atau taktik yang dikesan wartawan RTM terhadap lebih 30 individu yang cuba memancing pengguna media sosial lain ketika sedang asyik mempromosikan permainan judi dalam talian.

Kesemua mereka dipercayai pempengaruh dan juga pencipta kandungan; dilihat merakam video di Instagram dengan mempromosikan judi dalam talian secara terang-terangan kepada pelanggan.

Lebih membimbangkan, rata-rata mereka terdiri daripada golongan anak muda tanpa segan silu mempromosikan permainan judi, meskipun ditegur netizen.

Malah ada di antara mereka menutup ruangan komen supaya tidak menerima sebarang kecaman.

Melalui pemerhatian wartawan RTM, setiap daripada mereka menggunakan ayat promosi yang sama dan mengajak orang ramai menggunakan perkhidmatan syarikat itu bagi meraih wang berganda.

Rata-rata mereka mengatakan bahawa pelanggan yang berjaya berdaftar dan berkongsi link (pautan laman sesawang) yang sama akan mendapat keuntungan sebanyak RM50.

Malah menurut mereka kononnya lebih ramai yang berdaftar menggunakan pautan sama, lebih banyak keuntungan akan diperolehi selain dapat bermain 'game' secara dalam talian.

Timbul persoalan adakah mereka tidak mempunyai kesedaran untuk menjaga sensitivi bahawa judi adalah satu perkara yang jelas telah diharamkan Islam walaupun lesen judi dibenarkan untuk pelanggan bukan beragama Islam.

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) turut mempersoal sejauh mana tahap penguatkuasaan pihak yang dipertanggungjawabkan dalam membendung aktiviti itu.

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan menegaskan bahawa kegiatan judi tidak boleh dipromosikan apatah lagi dipertaruhkan oleh individu beragama Islam.

"Kerja-kerja untuk membawa kesedaran itu sentiasa perlu dilakukan (oleh JAIN dan JAKIM) dan rakyat harus bangkit menentang benda yang tidak baik ini sama seperti kita menentang penggunaan dadah dan aktiviti haram yang lain-lain.

"Kita harapkan badan berwajib ini membuat sesuatu untuk membawa kesedaran mengikut (bidang) kuasa yang ada dalam undang-undang mereka sekali gus memberi kesan kepada masyarakat.

"Maknanya agensi-agensi yang ditugaskan untuk mengawal selia, menentukan halal dan haram perlu ada tindakan penguatkuasaan. Kalau setakat kata 'haram', orang pun tak kisah juga lah.

"Kalau influencer (pempengaruh) ini dipanggil oleh JAKIM atau dipanggil oleh mana-mana jabatan agama dan mereka boleh dikenakan tindakan tanpa perlu menunggu buat laporan polis," katanya ketika dihubungi oleh RTM.

Hasil pemerhatian wartawan RTM mengenai kewujudan video itu mendapati setakat 9 pagi tadi kira-kira 19 individu termasuk lelaki dan perempuan memuat naik video mereka ke Instagram dengan mempromosikan kegiatan judi itu.

Bila memasuki pada sebelah petang pula, angka itu melonjak naik selepas mendapati lebih 30 individu memuat naik kandungan sama.

Nadzim berkata, pempengaruh perlu mempunyai kesedaran untuk mempromosikan sesuatu perkara yang dibenarkan dan juga dilarang.

"Kadang-kadang mungkin zaman ini (mereka) terlalu ghairah atau tidak faham dan mengambil mudah kerana upah.

"Bahagian dakwah kena buat sesuatu dan benda ini perlu dilihat secara serius oleh kerajaan untuk menentukan agensi di bawah mereka melakukan apa yang perlu seperti mengawal selia dan mengawasi apa yang berlaku disekeliling kita.

"Kita faham dan mungkin orang lain tidak faham dan (akhirnya) mereka main ikut je untuk mempromosikan (kegiatan promosi judi)," jelasnya.

(Kanan - Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan & Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim - Kiri)

Sementara itu, Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) menyelar tindakan umat Islam yang sanggup membuat kandungan yang didakwa 'kandungan berbayar'.

Setiausaha Agungnya, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, ini kerana dari segi moralnya niat dan matlamat tidak menghalalkan cara.

"Sepatutnya kita sebagai orang Islam menyeru kepada perkara yang makruf dan mencegah pada benda yang mungkar.

"Bukan menyuruh orang untuk melakukan kemungkaran. Ia merupakan satu benda yang tidak baik dan mempunyai asas kesalahan dari segi undang-undang.

"Penguatkuasaaan perlu dilakukan oleh pihak polis dan juga Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM)," katanya.

Pada April 2021, negara dikejutkan dengan sebuah iklan perjudian melalui YouTube malah iklan berkenaan dilakonkan sendiri mereka yang beragama Islam dalam suasana sambutan hari raya.

Susulan itu, Jabatan Mufti Perak mengingatkan kepada umat Islam agar menjauhi dan menghindar sumber pendapatan yang tidak halal, ini termasuklah memperhalusi terma-terma dalam kontrak perjanjian sama ada mematuhi piawaian syarak atau tidak.

Artikel oleh: Berita RTM

EKSKLUSIF: LEBIH 30 PEMPENGARUH DIDAKWA PROMOSI JUDI DALAM TALIAN

https://berita.rtm.gov.my/index.php/jenayah/70444-eksklusif-leb

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...