Showing posts with label BERITA RTM. Show all posts
Showing posts with label BERITA RTM. Show all posts

Thursday, March 19, 2026

PAKEJ 'PERCUMA' TELCO PERANGKAP PENGGUNA, PPIM DESAK TINDAKAN - BERITA RTM - 18/03/2026

 

KUALA LUMPUR, 18 Mac- Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mendakwa wujud taktik syarikat telekomunikasi (telco) menawarkan pakej ‘percuma’ dengan caj tersembunyi sehingga memerangkap pengguna dengan hutang.

Ketua Aktivis PPIM, Nadzim Johan@toqqi berkata pihaknya menerima aduan daripada seorang mangsa, Aina Ramli, 48, yang ditawarkan pakej berkenaan setahun lalu.

“Kita tengok caj insurans sahaja, syarikat telco untung berpuluh juta. Tapi pengguna rugi besar sebab kena caj berganda.

“Ini bukan perniagaan, ini dah macam skim nak ‘sembelih’ pelanggan secara diam-diam. Saya nak tanya, di mana integriti syarikat-syarikat besar ini?” tegasnya.

Beliau berkata mangsa ditawarkan talian telefon ‘percuma’ sebagai penghargaan pelanggan setia dan dimaklumkan tiada tindakan diperlukan jika tidak berminat serta tiada caj dikenakan.

Menurutnya, selepas setahun, mangsa terkejut apabila mendapati namanya disenarai hitam dengan penyata bil menunjukkan caj RM100 setiap bulan bagi talian yang tidak pernah diaktifkan.

“Ini satu penganiayaan. Bagaimana talian yang tidak pernah disentuh boleh keluar bil RM100 sebulan sampai disenarai hitam? Kalau mangsa tak semak, sampai ke tua kena bayar ‘hutang hantu’ ini,” katanya.

Beliau berkata penindasan sistematik itu perlu dihentikan segera dan menyeru Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengambil tindakan tegas termasuk mengenakan denda setimpal jika dakwaan berkenaan benar.

Beliau berkata MCMC perlu melakukan audit menyeluruh terhadap setiap sen yang dicaj oleh telco, terutama melibatkan produk pihak ketiga seperti insurans dan kandungan premium.

Selain itu, beliau menegaskan syarikat telekomunikasi tidak seharusnya sewenang-wenangnya menyenarai hitamkan pengguna selagi aduan dan pertikaian bil belum diselesaikan secara telus.

Tambah beliau, orang ramai perlu menyemak penyata bil talian telefon masing-masing setiap bulan agar tidak menjadi mangsa seterusnya.

“Jangan jadi pak turut. Jangan percaya bulat-bulat apa telco kata ‘percuma’. Periksa setiap baris dalam bil anda.

“Kalau ada caj pelik hatta seringgit sekalipun, lawan. Kalau telco tak layan, datang jumpa kami di PPIM. Kita tak boleh biarkan mereka terus bermaharajalela mencuri duit rakyat secara halus,” tegas Nadzim lagi.

Artikel oleh: Berita RTM

PAKEJ 'PERCUMA' TELCO PERANGKAP PENGGUNA, PPIM DESAK TINDAKAN

https://berita.rtm.gov.my/kes/senarai-berita-kes/senarai-artikel/pakej-percuma-telco-perangkap-pengguna-ppim-desak-tindakan/

Monday, January 5, 2026

4 JAN 2026 - SPM- KHIDMAT MASYARAKAT: PADAH MEMBUANG TANPA PEDULI - BERITA RTM - 04/01/2026

 

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Nadzim Johan@toqqi tampil sebagai tetamu jemputan di TV1 menerusi rancangan Selamat Pagi Malaysia bagi membincangkan tajuk “Khidmat Masyarakat: Padah Membuang Tanpa Peduli”.

Sumber: Berita RTM

4 JAN 2026 - SPM- KHIDMAT MASYARAKAT: PADAH MEMBUANG TANPA PEDULI

https://www.youtube.com/watch?v=St4UJelcCME

Saturday, January 20, 2024

KENAIKAN TARIF AIR: BERIKAN REBAT KEPADA GOLONGAN B40 - PPIM - BERITA RTM - 17/01/2024

 

KUALA LUMPUR, 17 Januari - Tarif baharu air bagi kategori domestik di Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan wajar dilaksanakan agar rakyat menerima air yang berkualiti secara berterusan, kata Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).

Datuk Nadzim Johan berkata, sistem bekalan air juga perlu ditambah baik serta tidak membebankan golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40).

"Tiba masanya perkara ini dilihat secara serius kerana air di negara kita antara yang paling murah di rantau ini.

"Kos untuk mengeluarkan air pun bukan murah dan kita perlu buat penambahbaikan perkhidmatan air. Pemberian rebat kepada golongan B40 juga perlu.

"Saya yakin ini adalah perlu dilaksanakan sebaik mungkin dan berharap di peringkat negeri perkara ini telah dibincang bersama bagi menentukan golongan B40 tidak terkesan dengan sebarang kenaikan," katanya ketika dihubungi RTM.

Beliau turut menasihatkan agar pengguna mengamalkan penggunaan air secara berhemat.

Terdahulu, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) mengumumkan pelarasan kadar tarif air dengan kenaikan purata sebanyak 22 sen bagi setiap meter padu yang akan berkuat kuasa bermula 1 Februari ini.

Pelarasan ini dijangka membabitkan kira-kira 6.9 juta pengguna kategori domestik atau mewakili 86.6 peratus daripada 7.9 juta pemegang akaun.

#REBAT #PPIM #TARIF AIR #KENAIKAN TARIF AIR #AIR DOMESTIK #DATUK NADZIM JOHAN #GOLONGAN B40

Artikel oleh: Berita RTM

KENAIKAN TARIF AIR: BERIKAN REBAT KEPADA GOLONGAN B40 - PPIM

https://berita.rtm.gov.my/nasional/senarai-berita-nasional/senarai-artikel/kenaikan-tarif-air-berikan-rebat-kepada-golongan-b40-ppim

Friday, October 6, 2023

EKSKLUSIF: LEBIH 30 PEMPENGARUH DIDAKWA PROMOSI JUDI DALAM TALIAN - BERITA RTM - 05/10/2023

 

KUALA LUMPUR, 5 Oktober -'Duduk goyang kaki kat rumah pun boleh dapat duit.'

Itu antara "ayat manis" atau taktik yang dikesan wartawan RTM terhadap lebih 30 individu yang cuba memancing pengguna media sosial lain ketika sedang asyik mempromosikan permainan judi dalam talian.

Kesemua mereka dipercayai pempengaruh dan juga pencipta kandungan; dilihat merakam video di Instagram dengan mempromosikan judi dalam talian secara terang-terangan kepada pelanggan.

Lebih membimbangkan, rata-rata mereka terdiri daripada golongan anak muda tanpa segan silu mempromosikan permainan judi, meskipun ditegur netizen.

Malah ada di antara mereka menutup ruangan komen supaya tidak menerima sebarang kecaman.

Melalui pemerhatian wartawan RTM, setiap daripada mereka menggunakan ayat promosi yang sama dan mengajak orang ramai menggunakan perkhidmatan syarikat itu bagi meraih wang berganda.

Rata-rata mereka mengatakan bahawa pelanggan yang berjaya berdaftar dan berkongsi link (pautan laman sesawang) yang sama akan mendapat keuntungan sebanyak RM50.

Malah menurut mereka kononnya lebih ramai yang berdaftar menggunakan pautan sama, lebih banyak keuntungan akan diperolehi selain dapat bermain 'game' secara dalam talian.

Timbul persoalan adakah mereka tidak mempunyai kesedaran untuk menjaga sensitivi bahawa judi adalah satu perkara yang jelas telah diharamkan Islam walaupun lesen judi dibenarkan untuk pelanggan bukan beragama Islam.

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) turut mempersoal sejauh mana tahap penguatkuasaan pihak yang dipertanggungjawabkan dalam membendung aktiviti itu.

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan menegaskan bahawa kegiatan judi tidak boleh dipromosikan apatah lagi dipertaruhkan oleh individu beragama Islam.

"Kerja-kerja untuk membawa kesedaran itu sentiasa perlu dilakukan (oleh JAIN dan JAKIM) dan rakyat harus bangkit menentang benda yang tidak baik ini sama seperti kita menentang penggunaan dadah dan aktiviti haram yang lain-lain.

"Kita harapkan badan berwajib ini membuat sesuatu untuk membawa kesedaran mengikut (bidang) kuasa yang ada dalam undang-undang mereka sekali gus memberi kesan kepada masyarakat.

"Maknanya agensi-agensi yang ditugaskan untuk mengawal selia, menentukan halal dan haram perlu ada tindakan penguatkuasaan. Kalau setakat kata 'haram', orang pun tak kisah juga lah.

"Kalau influencer (pempengaruh) ini dipanggil oleh JAKIM atau dipanggil oleh mana-mana jabatan agama dan mereka boleh dikenakan tindakan tanpa perlu menunggu buat laporan polis," katanya ketika dihubungi oleh RTM.

Hasil pemerhatian wartawan RTM mengenai kewujudan video itu mendapati setakat 9 pagi tadi kira-kira 19 individu termasuk lelaki dan perempuan memuat naik video mereka ke Instagram dengan mempromosikan kegiatan judi itu.

Bila memasuki pada sebelah petang pula, angka itu melonjak naik selepas mendapati lebih 30 individu memuat naik kandungan sama.

Nadzim berkata, pempengaruh perlu mempunyai kesedaran untuk mempromosikan sesuatu perkara yang dibenarkan dan juga dilarang.

"Kadang-kadang mungkin zaman ini (mereka) terlalu ghairah atau tidak faham dan mengambil mudah kerana upah.

"Bahagian dakwah kena buat sesuatu dan benda ini perlu dilihat secara serius oleh kerajaan untuk menentukan agensi di bawah mereka melakukan apa yang perlu seperti mengawal selia dan mengawasi apa yang berlaku disekeliling kita.

"Kita faham dan mungkin orang lain tidak faham dan (akhirnya) mereka main ikut je untuk mempromosikan (kegiatan promosi judi)," jelasnya.

(Kanan - Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan & Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim - Kiri)

Sementara itu, Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) menyelar tindakan umat Islam yang sanggup membuat kandungan yang didakwa 'kandungan berbayar'.

Setiausaha Agungnya, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, ini kerana dari segi moralnya niat dan matlamat tidak menghalalkan cara.

"Sepatutnya kita sebagai orang Islam menyeru kepada perkara yang makruf dan mencegah pada benda yang mungkar.

"Bukan menyuruh orang untuk melakukan kemungkaran. Ia merupakan satu benda yang tidak baik dan mempunyai asas kesalahan dari segi undang-undang.

"Penguatkuasaaan perlu dilakukan oleh pihak polis dan juga Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM)," katanya.

Pada April 2021, negara dikejutkan dengan sebuah iklan perjudian melalui YouTube malah iklan berkenaan dilakonkan sendiri mereka yang beragama Islam dalam suasana sambutan hari raya.

Susulan itu, Jabatan Mufti Perak mengingatkan kepada umat Islam agar menjauhi dan menghindar sumber pendapatan yang tidak halal, ini termasuklah memperhalusi terma-terma dalam kontrak perjanjian sama ada mematuhi piawaian syarak atau tidak.

Artikel oleh: Berita RTM

EKSKLUSIF: LEBIH 30 PEMPENGARUH DIDAKWA PROMOSI JUDI DALAM TALIAN

https://berita.rtm.gov.my/index.php/jenayah/70444-eksklusif-leb

Tuesday, March 28, 2023

HAPUS MONOPOLI PUSPAKOM, BUKA RUANG TAMBAH BAIK PERKHIDMATAN - BERITA RTM - 25/03/2023

 

KUALA LUMPUR, 25 Mac - Keputusan kerajaan untuk menamatkan monopoli Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) bermula tahun hadapan merupakan langkah wajar bagi menambah baik perkhidmatan yang ditawarkan selain memberi lebih banyak pilihan kepada orang ramai.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata langkah untuk membuka perkhidmatan yang ditawarkan Puspakom kepada pihak lain yang berkelayakan juga mampu mewujudkan persaingan yang sihat dalam kalangan penyedia perkhidmatan.

(Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM),
Datuk Nadzim Johan / FOTO BERNAMA)

“Isu yang timbul melibatkan tahap perkhidmatan yang ditawarkan Puspakom sebenarnya sudah lama, sehingga aduan yang diterima daripada orang ramai tidak dipandang serius, memandangkan mereka merupakan penyedia perkhidmatan tunggal pemeriksaan berkala kenderaan motor.

“Jadi dengan langkah ini, syarikat baharu yang akan menyediakan perkhidmatan ini kelak dapat menangani kekurangan yang ada di Puspakom, sekali gus membolehkan mereka memberikan perkhidmatan yang lebih baik,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Semalam, Menteri Pengangkutan Anthony Loke memaklumkan, Puspakom tidak akan lagi menjadi penyedia tunggal perkhidmatan pemeriksaan berkala kenderaan motor bagi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bermula 1 Sept 2024.

Loke berkata langkah itu berdasarkan keputusan mesyuarat Kabinet pada 17 Mac lepas agar perkhidmatan pemeriksaan berkala kenderaan motor, dibuka kepada mana-mana pihak yang berkelayakan.

Dalam pada itu, Nadzim berkata keputusan untuk menamatkan monopoli ini harus disertakan dengan penubuhan satu badan pemantau bagi mengawal selia perkhidmatan dan menangani sekiranya terdapat aduan membabitkan kualiti dan tahap perkhidmatan yang diberikan oleh syarikat-syarikat terlibat.

“Saya mohon kerajaan tubuhkan satu badan untuk kesan semua kelemahan dalam perkhidmatan yang diberikan, termasuk sama ada dari Puspakom mahupun syarikat-syarikat baharu dan kemudiannya melakukan siasatan untuk membolehkan mereka mengambil tindakan sewajarnya,” katanya.-BERNAMA

Artikel oleh: Berita RTM

HAPUS MONOPOLI PUSPAKOM, BUKA RUANG TAMBAH BAIK PERKHIDMATAN

https://berita.rtm.gov.my/~berita/index.php/semasa/60172-hapus-monopoli-puspakom-buka-ruang-tambah-baik-perkhidmatan

Saturday, January 7, 2023

SELARAS GAYA HIDUP DENGAN KEMAMPUAN - BERITA RTM - 30/12/2022

KUALA LUMPUR, 30 Disember- Mengubah gaya hidup sangat berkait rapat dengan mengubah kadar perbelanjaan yang selaras dengan kemampuan dan keperluan hidup.

Asas ini harus dicernakan oleh masyarakat dalam menghadapi situasi kos sara hidup tinggi, kata Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan.

"Dalam keadaan yang mencabar sebegini, kita kena pergi ke arah asas. Keperluan asas sahaja mengurangkan perbelanjaan, meningkatkan produktiviti. Itu dua kamu tak boleh ubah.

"Jadi bila kita kurangkankan perbelanjaan, mungkin kita boleh kurang 10%, kita dapat kurang kalau kita belanja katakan RM3,000 sebulan. Saya rasa boleh jimat RM300 boleh, maknanya didik diri kitalah. Lepas itu, kita cerita pasal tingkatkan produktiviti.

"Tambah 10%, ada 20% margin. Jadi mungkin 20% margin kalau kita susah dia boleh bantulah kita daripada terpengaruh atau terperangkap dalam cabaran-cabaran yang begitu nampaknya amat mencabar," kata Nadzim dalam program terbitan RTM.

 Artikel oleh: Berita RTM

SELARAS GAYA HIDUP DENGAN KEMAMPUAN

https://berita.rtm.gov.my/index.php/semasa/54209-selaras-gaya-hidup-dengan-kemampuan

Tuesday, October 11, 2022

NGO BOLEH BERPERANAN AKTIF MENJADI MATA TELINGA SPRM - BERITA RTM - 08/10/2022

 

KUALA LUMPUR, 8 Oktober- Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) boleh berperanan aktif menjadi mata dan telinga Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam memerangi jenayah rasuah.

Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Datuk Razim Mohd Noor berkata usaha itu dilihat mampu membantu SPRM menyampaikan mesej antirasuah perlu secara menyeluruh terutama di peringkat belia.

(Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Datuk Razim Mohd Noor)

Jelasnya Statistik SPRM menunjukkan jenayah rasuah di peringkat belia amat membimbangkan.

Oleh itu,beliau berharap dengan penglibatan NGO mampu memberi pendidikan bahaya rasuah dari bangku sekolah supaya dapat melahirkan nilai moral dan integriti yang tinggi dalam diri mereka.

"NGO ini mereka lebih bebas dan besar dalam negara kita jadi apa kita harapkan mereka menjadi mata dan telinga kepada sprm supaya mereka mengetahui sebarang kegiatan salah laku guna kuasa rasuah mereka mesti melaporkan kepada SPRM," katanya selepas menghadiri Program Dialog Antirasuah SPRM bersama 26 NGO sempena Sambutan Ulang Tahun SPRM ke-55 pagi tadi.

Antara objektif program itu adalah memberi pengetahuan dan kesedaran jenayah rasuah kepada wakil NGO mengenali peranan dan fungsi SPRM.


Artikel oleh: Berita RTM

NGO BOLEH BERPERANAN AKTIF MENJADI MATA TELINGA SPRM

https://berita.rtm.gov.my/index.php/semasa/48571-ngo-boleh-berperanan-aktif-menjadi-mata-telinga-sprm

Thursday, June 23, 2022

16 JUN 2022-S4-APLIKASI YAKIN-BANTU KENAL PASTI PERKHIDMATAN MENGELIRUKAN - BERITA RTM - 16/06/2022

 






PEMBANGUNAN APLIKASI BERMANFAAT, PERCEPAT USAHA CAPAI NEGARA BERTEKNOLOGI TINGGI 2030 - BERITA RTM - 16/06/2022

 

PETALING JAYA, 16 Jun- Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi mengalakkan lebih banyak pembangunan aplikasi terutama berkaitan dengan pengguna.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata ia bertujuan mempercepatkan proses ke arah mencapai negara berteknologi tinggi 2030.

"Dalam hala tuju kerajaan untuk menjadikan negara kita berteknologi tinggi pada 2030 kita mengalu-alukan lebih banyak aplikasi untuk dibangunkan terutama sekali aplikasi yang ada kaitan dengan pengguna," kata Dr Adham Baba dalam sidang media majlis pelancaran Aplikasi 'Yakin', di sini.

Dalam pada itu, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) melancarkan satu aplikasi mudah alih yang dikenali sebagai 'YAKIN'.

Ia merupakan satu aplikasi bagi mendapatkan pelbagai perkhidmatan seperti aduan hal ehwal pengguna, bantuan mangsa ceti haram, sumbangan derma kepada saluran berdaftar dan sumber informasi terkini.

"Fasa kedua pembikinan pembangunan aplikasi ini secara dalam talian untuk membuat perdagangan yakin dan selamat serta patuh syariah. Untuk itu, kita menyambut baik usaha PPIM dan syarikat Crescent Digital yang berinovasi mengutarakan teknologi serupa ini dan kita terus memperkasakan sains dan teknologi," tambah beliau.

(Menteri Sains Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Adham Baba)

Tambah beliau, penggunaan bahasa Malaysia di dalam aplikasi 'YAKIN' juga merupakan salah satu usaha memartabatkan bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan.


Artikel oleh: Berita RTM

PEMBANGUNAN APLIKASI BERMANFAAT, PERCEPAT USAHA CAPAI NEGARA BERTEKNOLOGI TINGGI 2030

https://berita.rtm.gov.my/index.php/teknologi/41808-pembangunan-aplikasi-bermanfaat-percepatkan-negara-capai-negara-berteknologi-tinggi-2030?fbclid=IwAR0Qbd7iRc3FKNNaOxBhmM_NwmItC4vcC_Um4NS4UqIKe9OfH2vhhR_t5QM

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL