Saturday, January 20, 2024

KENAIKAN TARIF AIR: BERIKAN REBAT KEPADA GOLONGAN B40 - PPIM - BERITA RTM - 17/01/2024

 

KUALA LUMPUR, 17 Januari - Tarif baharu air bagi kategori domestik di Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan wajar dilaksanakan agar rakyat menerima air yang berkualiti secara berterusan, kata Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).

Datuk Nadzim Johan berkata, sistem bekalan air juga perlu ditambah baik serta tidak membebankan golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40).

"Tiba masanya perkara ini dilihat secara serius kerana air di negara kita antara yang paling murah di rantau ini.

"Kos untuk mengeluarkan air pun bukan murah dan kita perlu buat penambahbaikan perkhidmatan air. Pemberian rebat kepada golongan B40 juga perlu.

"Saya yakin ini adalah perlu dilaksanakan sebaik mungkin dan berharap di peringkat negeri perkara ini telah dibincang bersama bagi menentukan golongan B40 tidak terkesan dengan sebarang kenaikan," katanya ketika dihubungi RTM.

Beliau turut menasihatkan agar pengguna mengamalkan penggunaan air secara berhemat.

Terdahulu, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) mengumumkan pelarasan kadar tarif air dengan kenaikan purata sebanyak 22 sen bagi setiap meter padu yang akan berkuat kuasa bermula 1 Februari ini.

Pelarasan ini dijangka membabitkan kira-kira 6.9 juta pengguna kategori domestik atau mewakili 86.6 peratus daripada 7.9 juta pemegang akaun.

#REBAT #PPIM #TARIF AIR #KENAIKAN TARIF AIR #AIR DOMESTIK #DATUK NADZIM JOHAN #GOLONGAN B40

Artikel oleh: Berita RTM

KENAIKAN TARIF AIR: BERIKAN REBAT KEPADA GOLONGAN B40 - PPIM

https://berita.rtm.gov.my/nasional/senarai-berita-nasional/senarai-artikel/kenaikan-tarif-air-berikan-rebat-kepada-golongan-b40-ppim

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...