Monday, October 9, 2023

"KASIHAN SEBAB HIDUP TERBIAR DAN TIDUR DI KAKI LIMA" - ROY AZMAN - HARIAN METRO - 07/10/2023

 

Kuala Lumpur: "Sebagai bapa saya tersentuh hati melihat anak-anak kecil yang turut menjadi gelandangan bersama kedua ibu bapa mereka. Terfikir bagaimana pembesaran mereka.

Demikian kata pelakon Roy Azman atau nama sebenar Zairosminan Abdul Rahman, 53, yang berkongsi pengalaman kali pertama terbabit pada program amal dan tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi menyantuni gelandangan di Pusat Khidmat Gelandangan Medan Tuanku, di sini, semalam.

Menurutnya, dia bersama 18 buah motosikal berkuasa besar daripada Kelab Motosikal Street Glide Onwer Malaysia berbesar hati mendapat jemputan dan pelawaan daripada Bonda Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).

"Ini pertama kali saya terbabit dalam program sebegini. Bagi saya, ia program yang sangat bagus dan memberi impak kepada semua pihak. Saya difahamkan pihak PPIM mahu menjalankan program ini pada setiap bulan, jadi ia satu usaha yang bagus.

"Sejujurnya, baru kali ini saya melihat sendiri depan mata kehidupan golongan ini. Saya juga dengar cerita yang mana ada antara mereka memilih menjadi gelandangan sebab nak 'save cost'. Orang dewasa terutama mak ayah mungkin boleh 'survive', tapi anak-anak macam mana?

"Kasihan sebab hidup terbiar dan ada yang tidur di kaki lima. Mungkin juga ada yang tak bersekolah selain ikut mak ayah mereka merayau. Terus teringat anak-anak di rumah yang mana bersyukurnya kita dengan kehidupan yang ada," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, dia terbuka untuk turut serta pada program seumpamanya selain dapat berkongsi rezeki dengan golongan yang memerlukan.

"Insya-Allah, kalau kami dijemput lagi memang nak turut serta. Apa salahnya, sebab kita dapat berkongsi rezeki dengan gelandangan. Saya tengok banyak juga pihak yang menyalurkan sumbangan dalam bentuk makanan dan barangan terpakai seperti pakaian. Jadi, kalau ada mana-mana pihak yang nak menaja adalah dialu-alukan," katanya.

Sementara itu, Ketua Aktivis PPIM Datuk Nadzim Johan berkata, pihaknya berhasrat menjadikan program itu sebagai acara bulanan dengan kerjasama rakan strategik.

"Ini program yang baik. Menginsafkan dan pada masa sama membantu pihak yang memerlukan. Saya rasa ia perlu diperluaskan dan disertai golongan muda juga," katanya.

Artikel oleh: Harian Metro

"KASIHAN SEBAB HIDUP TERBIAR DAN TIDUR DI KAKI LIMA" - ROY AZMAN

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2023/10/1017483/kasihan-sebab-hidup-terbiar-dan-tidur-di-kaki-lima-roy-azman

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...