Monday, October 16, 2023

SUBSIDI: PH HILANG SOKONGAN RAKYAT? - UTUSAN MALAYSIA - 16/10/2023


PETALING JAYA: Cadangan pengurangan pelbagai subsidi yang dibentangkan dalam Belanjawan 2024 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim Jumaat lalu berkemungkinan boleh menjejaskan sokongan rakyat terhadap kerajaan dan gabungan Pakatan Harapan (PH).

Hal ini kerana rakyat mele­takkan harapan yang tinggi bahawa kerajaan akan mengekalkan subsidi yang dinikmati ketika ini berikutan ekonomi negara dan global yang masih belum pulih sepenuhnyapascapandemik Covid-19 yang memberi kesan langsung kepada kehidupan rakyat.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Lembaga Perlindungan dan Kebajikan Pengguna Malaysia (LPKPM), Dr. Lee Nan Sang melihat Belanjawan 2024 sedikit banyak akan menjejaskan sokongan rakyat terhadap PH apabila pengurangan subsidi mula berkuat kuasa.

DIHARAPKAN

“Memandangkan keadaan beban saraan hidup yang semakin berat, rakyat berharap Belanjawan 2024 dapat membantu mereka tetapi apa yang dibentangkan bukan sesuatu yang diharapkan,” katanya.

Jelasnya, majoriti rakyat kecewa dengan apa yang dibentangkan kerana bukan sahaja banyak subsidi akan dikurangkan tetapi juga pelaksanaan atau penambahan beberapa cukai seperti peningkatan cukai perkhidmatan.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan pula berkata, PH perlu berusaha lebih kuat untuk mendapatkan kembali keyakinan rakyat dan menunjukkan beberapa tindakan dalam Belanjawan 2024 sebagai sesuatu yang perlu diambil demi kesejahteraan negara.

Beliau berkata, jika PH gagal memberikan rasional terhadap pengurangan subsidi dan meya­kinkan mereka, parti pembangkang dikhuatiri akan menggunakan ‘peluang’ itu untuk meraih sokongan rakyat.

“Imej parti tersebut mungkin akan tercalar kerana banyak isu berlaku seperti kenaikan harga barang keperluan asas seperti beras dan ayam serta telur tidak lama lagi apabila harga dua bahan makanan itu diapungkan.

“Saya yakin, sebelum pembentangan Belanjawan 2024, rakyat mengharapkan sesuatu tetapi lain pula jadinya,” kata­nya.

TEPAT

Namun, kata Nadzim, langkah kerajaan meningkatkan Sumbangan Tunai Rahmah (STR), peningkatan harga lantai belian padi dan beberapa perkara lagi dalam Belanjawan 2024 adalah satu tindakan tepat dan perlu ‘dimanfaatkan’ dengan sebaik mungkin.

Bagaimanapun, Pensyarah Kanan Politik Ekonomi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sabah, Dr. Firdausi Suffian yakin pengurangan subsidi tidak akan menjejaskan kerajaan kerana rasionalisasi subsidi itu diimbangi dengan peningkatan dalam aspek lain yang membolehkan kebajikan rakyat terus terbela.

Katanya, dalam usaha mengurangkan kebergantungan ke­pada subsidi perlu diperjelaskan kepada rakyat manakala gaji progresif perlu disegerakan bagi membolehkan rakyat menjalani kehidupan dengan lebih selesa.

“Saya tidak nampak imej kerajaan akan terjejas kerana apabila subsidi dikurangkan, beliau (Datuk Seri Anwar Ibrahim) memastikan STR dinaikkan kepada RM3,700. Tapi, kalau subsidi dikurangkan dan STR kekal seperti sekarang, itu berbahaya kepada imej kerajaan,” katanya.

Secara keseluruhan, katanya, belanjawan itu menunjukkan dasar fiskal yang berkembang, berasaskan reformasi kerana diperkenalkan Akta Tanggungjawab Fiskal, bersifat inklusif dalam memperkasakan rakyat dan mempunyai faktor penarik (wow factor) melalui pengumuman insentif penjawat awam sebanyak RM2,000.

Artikel oleh: Utusan Malaysia

SUBSIDI: PH HILANG SOKONGAN RAKYAT?

https://www.utusan.com.my/berita/2023/10/subsidi-ph-hilang-sokongan-rakyat/

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...