Tuesday, January 31, 2017

3394) SURAT MINTA AZAN DIPERLAHAN MELAMPAU - UTUSAN MALAYSIA - 31/1/2017

                                 utusan malaysia 31.1.2017

  KOTA BHARU 30 Jan. – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mengecam tindakan individu atau pihak tertentu yang menulis surat kepada pengurusan Masjid Aman di Taman Kenangan di sini meminta supaya memperlahankan azan menerusi pembesar ­suara.
Ketua Aktivis PPIM negeri, Datuk Seri Dr. Mohd. Fared Abdul Ghani berkata, perbuatan itu melampau kerana menyentuh sensitiviti agama selain tidak menghormati Perlembagaan yang meletakkan Islam sebagai agama rasmi negara.
Sehubungan itu kata beliau, pihaknya telah membuat laporan polis bagi membolehkan pihak berkuasa menyiasat kesahihan surat terbabit dan mengesan dalang sebenar yang bertanggungjawab menulisnya.
“Masjid ini terletak di kawasan yang penduduknya lebih 90 peratus orang Islam. Bukannya kawasan orang Cina. Untuk makluman, sebelum kawasan perumahan diwujudkan, masjid ini terlebih dahulu dibina sejak berpuluh-puluh tahun lalu.
“Orang Melayu Kelantan selama ini menghormati kepercayaan agama lain dan tidak pernah mempertikaikan amalan mereka. Tindakan penulis surat berkenaan dikhuatiri boleh menjejaskan keharmonian yang kita kecapi ini,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Masjid Aman, Azmi Mahmood bersama ahli jemaah masjid tersebut.
Dalam surat bertarikh 10 Janua­ri tersebut, penulisnya mendakwa mewakili masyarakat berketurunan Cina di Taman Kenangan meminta supaya azan terutama pada waktu Subuh diperlahankan dan dialihkan daripada menghala ke arah kediaman mereka.
Surat tersebut ditandatangani oleh ahli perniagaan terkemuka negeri ini, Datuk Seri Sunny Ung.
Mengulas lanjut, Mohd. Fared memberitahu, sebaik sahaja me­nerima surat tersebut, Azmi segera menghubungi Sunny namun beliau menafikan telah me­nulis surat seumpama itu.
“Sunny kata dia tidak buat tetapi kalau betul dia buat, kita minta dia buat permohonan maaf secara terbuka kepada jemaah Masjid Aman serta semua penduduk di Taman Kenangan,” katanya.

No comments:

GERAKKAN KUASA PENGGUNA

GERAKKAN KUASA PENGGUNA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...