Tuesday, December 29, 2015

2487) UTUSAN MALAYSIA - 29/12/15 - NGO PENGGUNA MINTA KERAJAAN LAKSANA PEMUTIHAN



KUALA LUMPUR 28 Dis. – Kerajaan diminta melaksanakan proses pemutihan terhadap pelajar-pelajar asing di negara ini terutama dari benua Afrika selewat-lewatnya tahun hadapan dalam usaha menangani gejala jenayah oleh golongan berkenaan.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan menegaskan, ketika proses pemutihan itu dilaksanakan, sebarang kemasukan baharu pelajar warga Afrika perlu dibekukan serta-merta.

Langkah itu jelas beliau, dilihat dapat membantu pihak berkuasa mengesan mereka yang cenderung melakukan gejala jenayah untuk disiasat dan seterusnya dihantar pulang ke negara masing-masing.

“Kita bagi kerangka masa setahun untuk proses pemutihan ini. Kita gunakan kerangka ini untuk menyiasat secara keseluruhan pelajar-pelajar Afrika ini.

“Jika kementerian memberi alasan kemasukan mereka memberi kesan positif terhadap ekonomi, saya rasa isu keselamatan adalah lebih penting dan sepatutnya diutamakan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau mengulas kebanjiran pelajar warga asing terutama dari Afrika yang dikaitkan dengan pelbagai kes jenayah dan sosial termasuk sindiket African Hacker di negara ini.

Dalam pada itu, Nadzim berkata, proses pemutihan itu juga perlu menyiasat universiti-universiti swasta yang terlibat menjadi dalang kemasukan sindiket penjenayah Afrika.

“Kita tidak mahu universiti ini hanya mahu buat duit sahaja sehingga sanggup menjadi dalang kepada kemasukan sindiket sebegini. Mereka juga perlu diputihkan,” tegasnya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr. Jacob George berkata, sudah tiba bagi kerajaan mewujudkan satu pangkalan data melibatkan pelajar-pelajar Afrika tersebut.

Katanya, pangkalan data itu perlu melibatkan pelbagai kementerian berkaitan terutama Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Pendi­dikan Tinggi dan Kementerian Luar.

“Pangkalan data ini dapat memastikan hanya pelajar tulen dapat masuk ke negara ini selepas siasatan terperinci dibuat oleh kementerian-kementerian terlibat,” katanya.




No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...