Saturday, December 26, 2015

2471) MYNEWSHUB - 25/12/15 - AKTIVIS PPIM BELA HAK PENGGUNA DITAHAN POLIS?


ALKISAH aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) ini, Muhammad Yusuf Azmi, wajahnya sering terpampang dalam akhbar dan siaran berita televisyen jika ada operasi dilakukan badan tersebut selama ini.

Dia seorang yang sangat baik dan telah membantu ramai umat Islam di Malaysia yang kebanyakannya teruk ditindas oleh peniaga yang tidak bertanggungjawab.

Hakikatnya PPIM sendiri sudah membantu ramai rakyat Malaysia tidak kira agama, bangsa dan budaya yang terlibat dalam masalah kepenggunaan seperti isu Along dan pelanggan ditipu oleh peniaga.

Namun laman blog Parpukari baru-baru ini melaporkan penulisnya cukup sedih apabila melihat salah seorang aktivis kini ditahan pihak polis. Dia bagaimanapun tidak mendedahkan sumber maklumat itu.

Dosa Muhammad Yusuf ialah pergi untuk mendapatkan keadilan demi pelanggan yang dikurung selama 4 jam oleh peniaga tidak bertanggungjawab di pusat beli-belah Kota Raya di Kuala Lumpur tempoh hari!

“Macam mana pulak dengan peniaga penipu itu? Apakah tindakan sudah diambil? Kalau sudah diambil apakah peniaga jahat dan penipu itu sudah ditangkap?” soal penulis Parpukari.


Kita tidak tahu apa yang berlaku pada peniaga tersebut, tetapi apa yang pasti aktivis pembela rakyat tertindas oleh peniaga tersebut sudah berjaya ditahan pihak polis ketika hari cuti Maulidur Rasul pada Khamis.

Di mana keadilan untuk aktivis ini? Kalau semua aktivis dilayan teruk sebegini, kita takut nanti tiada siapa yang mahu lagi membela nasib rakyat tertindas kelak.

“Yalah asalkan pergi bertanya atau mendapatkan keadilan untuk yang tertindas, yang membela pula kena masuk lokap. Ada ke patut macam ni?” tanya Parpukari lagi.
Kadang-kadang ada tertanya-tanya, kenapakah pihak peniaga di Plaza Low Yat dan Kota Raya begitu kebal? Kenapa pihak KPDNKK pula tidak mahu mengambil sebarang tindakan?

Penulis blog ini membuat andaian, apakah telah berlaku semacam satu ‘perjanjian persefahaman’ antara pihak penguat kuasa dan peniaga jahat ini? Mungkin SPRM kena siasat akan perkara ini.

Zaman sudah maju, negara kita bakal menuju 2020 tetapi penguatkuasaan lemah. Kadang-kadang dah buat aduan tetapi masih belum ada tindakan hingga membuatkan rakyat terpaksa mengambil tindakan sendiri.

“Apabila sudah kecoh kerana hendak menuntut hak, yang menuntut dan teraniaya itu pula sebaliknya dimasukkan ke dalam penjara,” tambah Parpukari dalam nada nada secara sinis.

Dalam keadaan sekarang ini, ketika kenaikan harga barangan masih berlaku dan apabila kena tipu dengan peniaga tidak bertanggungjawab, memang setiap pengguna pasti sakit hati.

Kalaulah KPDNKK masih wujud dan berkerja dengan penuh amanah, tidak akan berlaku perkara sebegini. Kepada Ketua Polis Negara, berilah muka sikit dengan aktivis sebegini.
Mereka bukan penjenayah tetapi mereka adalah pejuang untuk rakyat. Mereka membuat kerja bagi pihak penguat kuasa yang sudah lama ‘mati’ konon akibat rasuah. Kasihanilah mereka.

Parpukari mengakhiri tulisannya dengan mengucapkan “SELAMATKAN NEGARA DARIPADA PENIAGA BANGKAI!

Yang membela masuk penjara dan yang menipu terus menipu serta menindas  rakyat akibat sikap beberapa pegawai penguatkuasa yang ‘menjual’ maruah diri demi kesenangan hidup.

“Semoga Allah selamatkan negara kita ini,” kata penulis itu menutup rencananya. – Mynewshub.cc/


No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...