Saturday, December 5, 2015

2413) UTUSAN - 5/12/15 - JURURAWAT HOSPITAL SWASTA DAKWA DIBERHENTI KERANA TUTUP AURAT


KUALA LUMPUR 4 Dis. – Seorang jururawat di sebuah hospital swasta di ibu negara mendakwa diberhentikan kerja tanpa sebarang notis oleh pihak pengurusan hanya ke­rana tindakannya memakai pakaian yang menutup aurat.

Naziah Suani Samat, 24, men­dakwa, pihak pengurusan hospital tersebut tidak membenarkan petugas beragama Islam khususnya jururawat memakai tudung serta lengan panjang ketika bertugas.

Menurut gadis berasal dari Sarawak itu, pihak hospital turut mengeluarkan kata-kata kesat malah mengugut akan memecat mereka sekiranya bertegas untuk tidak memakai uniform lengan pendek dan hanya mengenakan anak tudung semasa bekerja.

Dakwanya, rata-rata petugas di hospital tersebut perlu membuka tudung dan memakai uniform le­ngan pendek atas alasan kebersihan padahal isu itu tidak patut dibangkitkan kerana terdapat prosedur perlu dituruti semasa bertugas.

“Pihak hospital tidak pernah memaklumkan saya berhubung etika berpakaian semasa menawarkan pekerjaan kepada saya. Malah, mengapa setelah dua bulan saya bekerja iaitu dari bulan September 
baru pihak hospital memberitahu berhubung tatacara berpakaian.

“Saya tertekan dengan tindakan pihak hospital yang tidak membenarkan saya bekerja selama dua hari iaitu pada 1 dan 2 Disember lepas dan semalam, saya diberitahu tanpa sebarang surat bahawa saya diberhentikan. Itu tidak adil,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Naziah Suani berkata demikian dalam sidang akhbar oleh Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) berhubung tindakan diskriminasi agama yang dilakukan oleh hospital swasta tersebut.

Dakwanya, ada rakan sekerja yang terpaksa membuka tudung semasa bertugas kerana tidak tahan berhadapan dengan tekanan akan diberhentikan perkhidmatan oleh pihak pengurusan.

“Pihak pengurusan turut meng­ugut akan menggantung sijil perakuan pengalaman tahunan (APC) saya dan tanpa sijil itu, saya tidak akan dapat memohon sebarang jawatan sebagai seorang jururawat,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, pihak bertanggungjawab seperti Kementerian Kesihatan, Jabatan Ke­majuan Islam Malaysia (Jakim) dan Kementerian Sumber 
Manusia perlu memantau isu diskriminasi agama tersebut.

“Perkara seperti ini walaupun kecil pada pandangan sesetengah pihak namun percayalah, akhir­nya mampu mencetuskan polemik perkauman yang mampu mengganggu gugat keharmonian negara.

“Kita akan ambil tindakan undang-undang terhadap pihak hospital berkenaan dan laporan polis telah dibuat. Kita mahukan keadilan bagi wanita Islam supaya tidak didiskriminasikan dalam mana-mana organisasi,” katanya.



No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...