Saturday, December 26, 2015

2473) UTUSAN - 26/12/15 - AMBIL TINDAKAN TEGAS


KUALA LUMPUR 25 Dis. - Pihak polis dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan didesak mengambil tindakan tegas terhadap penjual dan syarikat telefon bimbit yang menggunakan cara samseng dalam kejadian di Kompleks Beli-belah Kota Raya, di sini baru-baru ini.

Exco Pemuda UMNO, Armand Azha Abu Hanifah berkata, selain syarikat dan penjual, pihak berkuasa seharusnya mengambil tindakan terhadap pusat beli-belah itu sendiri kerana membenarkan kejadian penipuan berlaku depan mata.

“Syarikat Samsung Malaysia Electronics (Samsung) harus batalkan semua hubungan niaga dengan syarikat tersebut serta-merta kera­na merosakkan imej jenama itu. Jika diterus­kan, maka boleh dikatakan pihak Samsung setuju dengan cara peniaga memeras dan menipu pengguna.

“Saya memohon jasa baik pihak polis untuk melepaskan aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) kerana mereka memperjuangkan hak pengguna yang ditindas dan ditipu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kompleks Beli-belah Kota Raya terpaksa ditutup pada Ahad lalu selepas sekumpulan lelaki menyerang pekedai te­lefon bimbit.

Kejadian itu dilaporkan berlaku selepas seorang pelanggan mendakwa dia ditipu semasa membeli telefon.

Sementara itu, Armand Azha ber­kata, pengguna-pengguna boleh ke Mara Digital yang terletak di Menara Majlis Amanah Rakyat (Mara) di sini bagi membeli alatan elektronik.

“Pada pihak yang saya lihat berterusan menyerang Mara Digital, cukup-cukuplah membuat provokasi dan persepsi buruk terhadap pusat beli-belah tersebut,” katanya.


Sumber : http://m.utusan.com.my/berita/nasional/ambil-tindakan-tegas-1.172953

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...