Tuesday, December 29, 2015

2488) UTUSAN MALAYSIA - 29/12/15 - TIDAK HORMATI PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN


KUALA LUMPUR 28 Dis. – Rakyat negara ini tanpa mengira agama ataupun bangsa yang mencemuh serta menaburkan tohmahan terhadap penawaran perkhidmatan ataupun produk tempatan yang patuh syariah dianggap tidak la­yak menjadi warganegara ini. 

Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr. Maamor Osman berkata, golongan yang mengkritik itu sebenarnya bukan sahaja cetek pemikiran kerana tidak memahami konsep patuh syariah malah pa­ling jelas tidak menghormati Perlembagaan Persekutuan.

Kata beliau, konsep patuh syariah dalam Islam adalah bersifat neutral dan bukan dwistandard mahupun mendatangkan diskriminasi terhadap mana-mana kaum ataupun agama.

“Maka saya ingin menegaskan kelompok masyarakat yang bertindak mengeluarkan kenyataan untuk memburukkan syarikat yang menjalankan konsep patuh syariah supaya menghentikannya serta merta.

“Kalau benar-benar faham Rukun Negara, sudah pasti mereka tidak berbuat demikian dan ke mana perginya kepercayaan kepada agama, kesopanan dan kesusilaan. Kalau begitu mereka tidak layak jadi rakyat Malaysia,” katanya yang dihubungi di sini, hari ini.

Pada 20 Disember lalu, syarikat penerbangan patuh syariah pertama di Malaysia, Rayani Air telah melancarkan penerbangan sulungnya dengan menghubungkan terminal klia2 ke Kota Bahru dan Langkawi.

Namun, apa yang mengejutkan, ada segelintir pengguna laman media sosial memuat naik komen mengutuk syarikat penerbangan berkenaan berhubung pemakaian pramugari yang menutup aurat sehingga ke aspek tiada penawaran alkohol, malah ada yang juga mempersoalkan keupayaan syarikat itu untuk bertahan lama.

Mengulas lanjut, Maamor mengingatkan bahawa konsep patuh syariah itu sebenarnya relevan kepada semua jenis agama.

“Tiada agama dalam dunia ini yang menuntut atau mengajar pengikutnya untuk berbuat jahat ataupun bersikap negatif.

“Cuba beritahu, mana agama yang ajar penganutnya berpakaian seksi, sedangkan orang biarawati Kristian pun berpakaian seperti wanita Islam dan sama juga Hindu dan Buddha, adakah mereka menggalakkan wanita berpakaian seksi?.

“Soal arak pula, mana agama yang menggalakkan pengikutnya minum alkohol, semua itu adalah untuk kebaikan, kenapa pula perlu dikutuk dan dipersoalkan, jika mereka benar-benar rakyat Malaysia sudah pasti mereka akan menghormati agama dan kaum lain,” katanya.


No comments:

GERAKKAN KUASA PENGGUNA

GERAKKAN KUASA PENGGUNA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...