Wednesday, November 15, 2023

OIC PATUT SEKAT EKSPORT MINYAK KE ISRAEL, SEKUTUNYA - TUN M - MALAYSIA GAZETTE - 14/11/2023

 

PUTRAJAYA – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berpandangan, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) sepatutnya mengeluarkan resolusi yang lebih tegas termasuk melaksanakan sekatan eksport minyak bagi mendesak rejim Zionis Israel menghentikan keganasan di Gaza.

Menurut beliau, rejim Zionis Israel tidak akan mempedulikan resolusi OIC dalam sidang kemuncak di Riyadh, Arab Saudi Sabtu lalu yang hanya menggesa mereka berhenti membunuh rakyat Palestin.

Dr Mahathir berkata, OIC melalui Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Minyak (OPEC) boleh menyekat bekalan bahan api itu kepada Israel dan negara-negara yang bersekutu dengannya.

“Allah SWT telah mengurniakan banyak minyak kepada negara-negara Islam, jika mereka menyekat bekalan minyak kepada Israel, Israel akan merasa kesannya.

“Bukan sahaja Israel tetapi negara-negara lain di Eropah patut disekat daripada menerima bekalan minyak dan gas supaya mereka merasa tekanan yang diberikan oleh pihak yang mahu membantu rakyat Palestin.

“Tetapi OIC tidak mengeluarkan resolusi selain meminta Israel menghentikan pembunuhan,” katanya dalam sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan; Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid; Presiden Muslim Care Malaysia Society, Zulkifli Wahijan dan
Pengerusi Pertubuhan Kebudayaan Palestin Malaysia (PCOM), Badereddin Seyam.

Beliau yang juga Presiden Kehormat Yayasan Kepimpinan Perdana memberitahu, Amerika Syarikat (AS) turut mengenakan sekatan terhadap negara-negara lain yang tidak sehaluan dengannya.

Dr Mahathir menambah, sebagai contoh, Malaysia juga tidak dibenarkan berdagang dengan Iran ekoran sekatan yang dikenakan oleh AS terhadap negara berkenaan.

“Itu bukan bermakna kita menyokong AS tetapi tindakan akan diambil oleh AS jika kita tidak mengikut arahan mereka,” jelasnya.

Pada masa yang sama, beliau menggalakkan rakyat Malaysia meneruskan tindakan boikot terhadap produk-produk yang dikatakan mempunyai kaitan dengan Israel.

“Walaupun ia telah dibeli orang lain tetapi wang akan pergi kepada pengasasnya iaitu orang Yahudi di AS,” katanya.

Dr Mahathir berkata, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) sepatutnya menghantar pasukan pengaman ke Gaza seperti yang dilakukan di negara-negara yang dilanda konflik bersenjata.

“Namun ia tidak dilakukan kerana negara-negara besar menggunakan kuasa veto untuk menghalangnya,” katanya. – MalaysiaGazette

Artikel oleh: Malaysia Gazette

OIC PATUT SEKAT EKSPORT MINYAK KE ISRAEL, SEKUTUNYA - TUN M

https://malaysiagazette.com/2023/11/14/oic-patut-sekat-eksport-minyak-ke-israel-sekutunya-tun-m/

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...