Monday, November 6, 2023

DAP KENA HENTI DESAK FADHLINA TAMBAH PERUNTUKAN SEKOLAH P. PINANG - MALAYSIA GAZETTE - 04/11/2023


KUALA LUMPUR – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mengecam tindakan Jawatankuasa Perhubungan DAP Bagan yang terlalu mendesak Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek untuk memenuhi tuntutannya.

Ketua aktivisnya, Datuk Nadzim Johan berkata, desakan itu bertentangan dengan slogan DAP yang mengutamakan kepentingan semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum.

“DAP Bagan juga menggesa Kementerian Pendidikan untuk menambah peruntukan pembiayaan pembangunan untuk semua sekolah di Pulau Pinang bagi menebus pengabaian yang dibuat oleh kerajaan terdahulu.

“Siapakah yang mentadbir Kerajaan Pulau Pinang? Bukankah sudah 15 tahun atau tiga penggal mereka memerintah negeri itu?

“Sekarang nak salahkan siapa lagi kalau bukan mereka yang mengabaikan negeri ditadbir sendiri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selasa lalu, media melaporkan Jawatankuasa Perhubungan DAP Bagan menggesa Fadhlina menambah peruntukan pembiayaan pembangunan untuk semua sekolah di Pulau Pinang bagi menebus pengabaian yang dibuat oleh kerajaan terdahulu.

Perkara itu antara tiga resolusi yang dicapai DAP Bahagian Bagan dalam mesyuarat agung tahunan (AGM) yang diadakan baru-baru ini.

Tambah Nadzim, DAP tidak sepatutnya menyalahkan Kerajaan Persekutuan kerana parti itu pernah menerajui kepimpinan negara pada 2018 namun tiada perubahan ketara berlaku.

“Sudahlah abaikan kebajikan rakyat Malaysia, mereka sewenangnya menyalahkan kerajaan terdahulu sedangkan mereka sendiri tidak banyak membantu dalam pembangunan negara,” katanya.

Katanya lagi, sudah tiba masanya parti dan ahli politik berhenti menunding jari dan menyalahkan pihak lain sebaliknya terus menjalankan tugas.

“Terlalu kejar populariti, publisiti dan banyak sangat mengadu domba. Adakah DAP tidak pedulikan tentang tugas yang lebih penting,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Artikel oleh: Malaysia Gazette

DAP KENA HENTI DESAK FADHLINA TAMBAH PERUNTUKAN SEKOLAH P. PINANG

https://malaysiagazette.com/2023/11/04/dap-kena-henti-desak-fadhlina-tambah-peruntukan-sekolah-p-pinang/

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...