PUTRAJAYA: Kerajaan Mesir sepatutnya membuka pintu sempadan mereka dan memberi perlindungan kepada pelarian wanita dan kanak-kanak dari Palestin.
Itu cadangan diberikan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad kepada Mesir bagi meredakan konflik Palestin – Israel ketika ini.
Dr Mahathir berkata, rakyat Palestin sepatutnya boleh mendapatkan perlindungan di negara-negara jiran termasuk Mesir, namun perkara itu tidak dapat dilakukan ketika ini.
“Saya rasa ini tidak adil dan tidak berperikemanusiaan. Perlindungan itu sekurang-kurangnya memberi kelegaan kepada pelarian berkenaan.
“Justeru, saya harap negara-negara Islam di sekitar Palestin termasuk Mesir menerima sekurang-kurangnya pelarian wanita dan kanak-kanak untuk berlindung,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.
Katanya, golongan lelaki Palestin sebaliknya perlu kekal di Gaza bagi menghalang Israel dari terus menakluk negara itu.
Sementara itu, Dr. Mahathir berkata, idea penyelesaian dua negara (two state solution) tidak mampu menyelesaikan konflik Palestin – Israel.
Menurutnya, Israel sendiri tidak mahu idea itu direalisasikan kerana bagi mereka, Palestin tidak boleh ada sebuah negara sekali pun.
“Tapi di waktu ini, saya tak fikir ini akan menyelesaikan masalah kerana Israel tak nak lihat Palestin ada negara pun.
“Saya berpendapat bahawa dasar
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu adalah mahu membunuh semua orang Palestin supaya ia menjadi ‘final solution’ (tiada masalah lagi).
“Itulah yang dijanjikan Netanyahu. Walaupun dia tak sebut secara langsung, namun bagi Netanyahu ‘two state’ bukan ‘solution’ dan bagi dia hanya ada Israel sahaja dan tiada Palestin sama sekali,” katanya.
Terdahulu, Dr. Mahathir bersama beberapa wakil dan penggerak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Muslim Care Malaysia Society dan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) berhimpun bagi program ‘Hentikan Sekatan Bantuan Kemanusiaan Ke Gaza’ anjuran Humanity Movement.
Hadir sama Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan; Presiden Presiden Muslim Care Malaysia Society, Zulkifli Wahijan dan Presiden MAPIM, Mohd Azmi Abdul Hamid. – UTUSAN
Artikel oleh: Utusan Malaysia
MESIR PATUT TERIMA PELARIAN WANITA, KANAK-KANAK PALESTIN - DR. MAHATHIR
No comments:
Post a Comment