SHAH ALAM – Isu along yang sering menekan penghutang tidak akan selesai selagi tiada tindakan tegas termasuk penubuhan pasukan petugas khas bagi membanterasnya.
Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam, Datuk Dr. Jacob George berkata, penubuhan itu pernah disuarakan beberapa persatuan pengguna sebelum ini supaya kerjasama erat dapat dilaksanakan dengan kerajaan.
Katanya, beliau sendiri menerima 10 hingga 12 aduan setiap minggu berhubung hal-hal pinjaman termasuk ugutan jenayah.
“Sehingga kini, tiada pangkalan data khusus terhadap along atau pemberi pinjaman wang berlesen bagi memudahkan sebarang tindakan dilakukan kerajaan.
“Apa yang menjadi isu adalah sama ada mempunyai political will (kehendak politik) bagi memeranginya dengan lebih berkesan,” katanya.
Beliau mengulas mengenai laporan Kosmo! semalam yang menyiarkan pemberi pinjaman wang berlesen kini tidak ubah seperti lintah darat apabila mendesak peminjam menyerahkan kad mesin pengeluaran wang automatik dan buku bank mereka sebagai cagaran.
Rata-rata peminjam yang terdiri daripada penjawat awam diminta berbuat demikian bagi melicinkan proses pembayaran semula hutang yang dibuat atas pelbagai sebab termasuk perkara kecemasan.
Along berlesen itu juga mengarahkan peminjam supaya membuka akan baharu bagi memudahkan proses pemulangan baki wang gaji.
Menurut Jacob, isu juga berlaku disebabkan sikap pengguna sendiri yang mencari masalah meskipun hebahan mengenainya sering dilakukan termasuk daripada pihak media.
Tambahnya, siasatan pihaknya juga mendapati ramai meminjam disebabkan mahu kehidupan luar biasa selain ketagih berjudi.
“Walaupun nasihat sudah diberikan sebelum menandatangani sebarang dokumen, namun masih ada kelompok yang sengaja meletakkan diri seperti pistol di kepala mereka.
“Ini satu keadaan yang mendukacitakan. Namun, kita tidak nafikan ada segelintirnya betul-betul terdesak sehingga tidak mempunyai alternatif lain mendapatkan wang segera untuk kelangsungan kehidupan mereka,” katanya.
Sementara itu, Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan menegaskan masalah itu tidak boleh dibiarkan berlarutan.
“Kita tidak mahu ia terus membarah dengan masalah yang ada sekarang masih belum mampu diselesaikan. Cadangan penubuhan pasukan khas juga tiada sambutan daripada kerajaan,” katanya.
Artikel oleh: Kosmo
ALONG BANYAK SEBAB PEMINJAM TAK SEDAR DIRI
https://www.kosmo.com.my/2023/11/02/along-banyak-sebab-peminjam-tak-sedar-diri/
No comments:
Post a Comment