Wednesday, November 15, 2023

KEMPEN BMF GLOBAL BUKAN BOIKOT, TAPI PERKASA EKONOMI ORANG ISLAM - HARIAN METRO - 11/11/2023

 

Cyberjaya: Inisiatif kempen satukan kuasa membeli yang menyarankan pembeli memfokus pilihan dalam perbelanjaan melalui Pelancaran Buy Muslim First (BFM) Global membantu memperkasakan produk Muslim tempatan dan luar negara.

Pengasas Malakat Mall, Mohd Fadzil Hashim berkata, pihaknya dan Koperasi Pembangunan Pengguna Islam Malaysia (KoPPIM) mengambil inisiatif menjadi peneraju utama pelancaran program berkenaan dalam usaha meluaskan sokongan usahawan tempatan dan negara Islam lain.

Bagaimanapun katanya, BMF bukan kempen bersifat bangsa dan ia juga bukan untuk memboikot produk orang bukan Muslim (yang tidak menyokong Israel) tetapi lebih kepada usaha untuk memperkuatkan ekonomi orang Islam.

"Usaha ini memfokuskan 'Kempen Satukan Kuasa Beli' yang mana kita menyarankan pembeli fokus pilihan dalam perbelanjaan mereka dengan kami turut melancarkan karnival usahawan terdiri daripada golongan pengeluar asal sesebuah produk.

"Pelancaran ini juga adalah usaha menyedarkan masyarakat bahawa perjuangan memartabatkan produk Muslim bukan saja sekadar bertaraf lokal, malah ke peringkat antarabangsa," katanya.

Beliau berkata demikian pada Pelancaran March4Gaza dan kempen BMF Global di pusat beli-belah berkenaan, di sini, hari ini.

ANTARA peserta yang hadir pada pelancaran kempen 'BMF Global dan Perarakan Untuk Gaza di Malakat Mall, Cyberjaya. FOTO Hairul Anuar Rahim

Ia turut mendapat sokongan beberapa pihak termasuk Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).

Terdahulu, kira-kira 1,000 orang hadir di perkarangan pasar raya berkenaan bagi program March4Gaza sebagai tanda soladiriti dan sokongan moral kepada Palestin yang sedang berhadapan konflik dengan rejim Israel.

Turut hadir, Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan dan Pengerusi KoPPIM, Mustapa Kamal Mohd Razali.

Mohd Fadzil berkata, pusat beli-belah berkenaan akan dijadikan sebagai 'platform' untuk memperkenalkan jenama Muslim termasuk dari Turkiye dan Indonesia setiap minggu.

"Sudah tiba masa kita mula menggunakan kuasa kita sebagai pengguna untuk membina kekuatan sendiri supaya dapat membantu rakyat khususnya umat Islam," katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Fadzil berkata, tindakan memboikot susulan pembantaian di Gaza, Palestin ketika ini luar biasa dan ia akan lebih berkesan dengan usaha memperkenalkan produk alternatif bagi mengelak orang ramai kembali ke produk asal sekiranya keadaan kembali tenang nanti.

"Kita maklum BMF hanya kuat di Malaysia dan di peringkat antarabangsa ada gerakan badan bukan kerajaan (NGO) Boycott, Divestment, Sanctions (BDS), sebuah gerakan Palestin untuk kebebasan, keadilan dan kesaksamaan.

"Jadi apa yang kita lancarkan ini adalah langkah strategik melalui 12 protokol BMF Global membabitkan pengguna dan usahawan Islam serta pengguna dan usahawan bukan Islam sealiran dengan perjuangan membebaskan Palestin," katanya.

Sementara itu, Mustapa Kamal berkata, beliau berharap lebih ramai usahawan tempatan terutama Muslim mengeluarkan pelbagai produk sebagai pilihan kepada rakyat kerana situasi ketika ini menunjukkan masyarakat sudah mula memilih produk tempatan.

"Saya berharap usahawan tempatan tidak kira Muslim atau tidak, teruskan usaha mengeluarkan produk tempatan supaya kita mempunyai lebih banyak pilihan selain usaha ini juga memperkasakan ekonomi produk tempatan," katanya.

Artikel oleh: Harian Metro

KEMPEN BMF GLOBAL BUKAN BOIKOT, TAPI PERKASA EKONOMI ORANG ISLAM

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2023/11/1029411/kempen-bmf-global-bukan-boikot-tapi-perkasa-ekonomi-orang-islam

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL