Wednesday, November 15, 2023

BMF GLOBAL INISIATIF SATUKAN KUASA BELI BAGI PERKASAKAN PRODUK MUSLIM TEMPATAN DAN LUAR NEGARA - MALAYSIA TRIBUNE - 11/11/2023

 

CYBERJAYA – Pelancaran Buy Muslim First (BMF) Global merupakan satu inisiatif menyatukan kuasa beli dalam membantu memperkasakan produk Muslim tempatan dan luar negara.

Pengasas Malakat Mall, Mohd Fadzil Hashim berkata, pihaknya dan Koperasi Pembangunan Pengguna Islam Malaysia (KoPPIM) mengambil inisiatif menjadi peneraju utama pelancaran program berkenaan dalam usaha meluaskan sokongan usahawan tempatan dan negara Islam lain.

“Usaha ini memfokuskan ‘Kempen Satukan Kuasa Beli’ yang mana kita menyarankan pembeli fokus pilihan dalam perbelanjaan mereka dengan kami turut melancarkan karnival usahawan terdiri daripada golongan pengeluar asal sesebuah produk.

“Pelancaran ini juga adalah usaha menyedarkan masyarakat bahawa perjuangan memartabatkan produk Muslim bukan saja sekadar bertaraf lokal, malah ke peringkat antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis March4Gaza dan pelancaran BMF Global Movement di Malakat Mall, di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan dan Pengerusi KoPPIM, Mustapa Kamal Mohd Razali.

Beliau bagaimanapun berkata, BMF bukan kempen bersifat bangsa dan ia juga bukan untuk memboikot produk orang bukan Muslim (yang tidak menyokong Israel) tetapi lebih kepada usaha untuk memperkuatkan ekonomi orang Islam.

“Kita maklum BMF hanya kuat di Malaysia dan di peringkat antarabangsa ada gerakan badan bukan kerajaan (NGO) Boycott, Divestment, Sanctions (BDS), sebuah gerakan Palestin untuk kebebasan, keadilan dan kesaksamaan.

“Jadi apa yang kita lancarkan ini adalah langkah strategik melalui 12 protokol BMF Global membabitkan pengguna dan usahawan Islam serta pengguna dan usahawan bukan Islam sealiran dengan perjuangan membebaskan Palestin.

“Sudah tiba masa kita mula menggunakan kuasa kita sebagai pengguna untuk membina kekuatan sendiri supaya dapat membantu rakyat khususnya umat Islam,” katanya lagi.

Artikel oleh: Malaysia Tribune

BMF GLOBAL INISIATIF SATUKAN KUASA BELI BAGI PERKASAKAN PRODUK MUSLIM TEMPATAN DAN LUAR NEGARA

https://malaysiatribune.news/2023/11/11/bmf-global-inisiatif-satukan-kuasa-beli-bagi-perkasakan-produk-muslim-tempatan-dan-luar-negara/

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...