Thursday, November 16, 2023

NEGARA ISLAM DIGESA SEKAT JUAL MINYAK, GAS KE AS DAN EROPAH - XKLUSIF - 14/11/2023

 

KUALA LUMPUR 14 Nov. – Negara Islam pengeluar minyak dan gas digesa menghentikan penjualan kepada Israel, malah mereka yang menyokong rejim terbabit terutama Amerika Syarikat (AS) dan Eropah.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, ia mampu memberi tekanan kepada negara terbabit untuk menghentikan serangan Israel yang kini berdepan isu pembunuhan beramai-ramai.

“Sebenarnya kita juga boleh melakukan sekatan ke atas negara seperti AS menerusi inisiatif boikot beberapa produk yang sedang berlaku ketika ini di kebanyakan negara termasuk di Malaysia.

“Saya melihat lebih banyak yang boleh dilakukan sebagai contoh, Allah SWT mengurniakan banyak minyak kepada negara Islam dan kita boleh menafikan bekalan minyak dan gas kepada negara yang menyokong Israel seperti AS dan negara Eropah.

“Ini supaya mereka juga merasakan tekanan seperti yang dirasakan rakyat Palestin serta negara yang mereka (AS) cuba melaksanakan sekatan,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Beliau berkata demikian pada sidang media menggesa supaya menghentikan sekatan bantuan kemanusiaan dunia ke Gaza di Yayasan Kepimpinan Perdana, hari ini.

Yang turut hadir Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan; Presiden Muslim Care Malaysia (MCM), Zulkifli Wahijan dan Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid.

Dalam pada itu, beliau menggesa Mesir supaya membenarkan wanita dan kanak-kanak Palestin mendapatkan perlindungan di sempadan negara itu.

Bagaimanapun, katanya golongan lelaki Palestin perlu terus berada di negara mereka untuk mempertahankan tanah air daripada terus dijajah Israel.

“Saya terkilan kerana kebanyakan negara berjiran dengan Gaza enggan menerima pelarian Gaza. Saya berpendapat ia tidak adil dan tidak berperikemanusiaan.

“Ini sebagai perlindungan kepada pelarian yang melarikan diri daripada penindasan,” katanya lagi. — Xklusif

Artikel oleh: Xklusif

NEGARA ISLAM DIGESA SEKAT JUAL MINYAK, GAS KE AS DAN EROPAH

https://xklusif.my/negara-islam-digesa-sekat-jual-minyak-gas-ke-as-dan-eropah/#google_vignette

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...