KUALA LUMPUR: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa kerajaan baharu pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan salah laku dalam pembelian vaksin COVID-19.
Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, pihaknya menerima beberapa aduan berkaitan jumlah pembelian dan perbelanjaan untuk menangani pandemik itu yang secara keseluruhan mencecah RM600 bilion dan disifatkan sebagai sangat besar.
“Kita lihat ini adalah satu angka yang cukup besar dan kita harap menarik perhatian kerajaan. Saya minta Datuk Seri Anwar Ibrahim tolong tengok kes ini kerana ia melibatkan duit yang terlalu banyak dan ada salah laku yang kita nampak.
“Jadi kita harap RCI dapat ditubuhkan untuk menyiasat kesalahan-kesalahan atau kelemahan-kelemahan ini supaya ia tidak berlaku lagi kerana RM600 bilion, ia adalah angka yang sangat besar.
“Kita serahkan kepada kerajaan baharu ini (untuk tubuhkan RCI) supaya beri keyakinan semula kepada rakyat,” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur pada Sabtu.
Perdana Menteri kelapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pada 2021 dilapor berkata, kerajaan telah membelanjakan banyak wang iaitu sebanyak RM600 bilion dalam Belanjawan 2021 dan beberapa pakej rangsangan untuk membantu rakyat Malaysia yang terkesan akibat COVID-19.
Sementara itu, dalam sidang media sama, Nadzim berulang kali mengingatkan kerajaan agar tidak ‘tutup mata’, sebaliknya perlu memandang serius isu berkenaan kerana ia melibatkan perbelanjaan yang besar.
“Kerajaan Pusat yang baharu haruslah serius mengembalikan kestabilan dan membanteras salah laku pemimpin.
“Jika tidak, tiada bezanya pemimpin kini dan yang sebelumnya,” ujarnya.
Artikel oleh: Astro Awani
PPIM GESA KERAJAAN TUBUH RCI SIASAT PEMBELIAN VAKSIN
No comments:
Post a Comment