Wednesday, November 30, 2022

TERBUKTI PENGUNDI 18 TAHUN GAGAL MEMAHAMI POLITIK - UTUSAN MALAYSIA - 28/11/2022


SAUDARA PENGARANG,

SAYA amat menyokong pandangan oleh Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan bertajuk Undi18 punca politik kucar-kacir yang diterbitkan Utusan Malaysia pada 23 November lalu.

Bagi Nadzim, pada usia 18 tahun pelajar baru tamat sekolah menengah dan kebanyakan mereka masih tidak mengenali dunia politik.

Nadzim turut mempersoalkan bagaimana kepercayaan yang begitu besar boleh diletakkan ke atas mereka tanpa sebarang panduan terlebih dahulu seperti mengadakan kursus politik untuk mendidik anak-anak muda ini.

Jadi, mereka ini masih belum memahami politik kerana baru tamat tingkatan lima, baru sahaja habis belajar. Mereka ini belum ada masa untuk belajar hal politik.

Apabila keluar daripada alam persekolahan, yang hanya ada dalam fikiran anak muda ini adalah untuk menyambung pelajaran ke institusi pengajian tinggi (IPT). Jadi, bila masa mereka hendak memikirkan hal-hal politik?

Bahkan ada kemungkinan dalam kalangan mereka ini tidak memahami politik yang sebenar. Inilah salah satu sebab yang membuat politik kita jadi kacau-bilau. Mungkin mereka mengundi mengikut pujukan orang sahaja atau terpengaruh dengan fakta-fakta yang sengaja diada-adakan.

Pemilihan Undi18 ini sebenarnya adalah dari kehendak ahli-ahli Parlimen dan bukan dari kehendak rakyat kerana mereka mempunyai agenda tertentu. Sebagai rakyat biasa, kami tiada kuasa menyuarakan pandangan.

Ia umpama ‘anjing menyalak bukit’ kerana yang membuat cadangan ialah ahli-ahli Parlimen dan ahli Dewan Negara dan yang menyokong dalam kalangan mereka juga.

Oleh itu, apabila merancang untuk melakukan perubahan, maka fikirlah sebaik mungkin. Jangan mudah terima kata-kata orang yang mempunyai muslihat yang kita tidak nampak dari mata kasar. Akhirnya rakyat yang susah.

Dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang lalu, Pakatan Harapan (PH) memenangi sebanyak 76 kerusi di peringkat Parlimen, diikuti Perikatan Nasional (PN) 73 kerusi dan Barisan Nasional (BN) 30 kerusi. – UTUSAN

PENGUNDI LAMA
Kuala Lumpur


Artikel oleh: Utusan Malaysia

TERBUKTI PENGUNDI 18 TAHUN GAGAL MEMAHAMI POLITIK

https://www.utusan.com.my/rencana/forum/2022/11/terbukti-pengundi-18-tahun-gagal-memahami-politik/

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...