Wednesday, November 30, 2022

TUBUH RCI SIASAT PEMBELIAN VAKSIN - PPIM - MALAYSIA GAZETTE - 30/11/2022

 

KUALA LUMPUR – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) meminta kerajaan baharu menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat dakwaan salahguna pembelian vaksin Covid-19.

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, pihaknya menerima beberapa aduan yang tidak masuk akal berkaitan jumlah pembelian dan perbelanjaan untuk menangani penularan Covid-19 baru-baru ini.

“Aduan diterima mempunyai fakta yang patut dikaji dan perlu disiasat secara serius kerana ia membabitkan jumlah perbelanjaan yang sangat besar.

“Negara bukanlah kaya sangat dan rakyat menderita, apa pemimpin buat sehingga ada dakwaan salah laku seperti ini. Kami harap rakyat Malaysia dapat bersama dalam usaha ini,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Menurut Nadzim, kerajaan tidak seharusnya ‘tutup mata’ dan perlu memandang serius isu itu kerana ia melibatkan perbelanjaan yang besar.

“Kerajaan pusat yang baharu haruslah serius mengembalikan kestabilan dan membanteras salah laku pemimpin. Jika tidak, tiada bezanya pemimpin kini dan yang sebelumnya,” ujarnya.

Sementara itu, Pakar Perunding Histopatologi dan Ahli Statistik, Dr. Manimalar Selvi Naicker berkata, kerajaan perlu melantik Menteri Kesihatan daripada kalangan pengamal perubatan.

Jelasnya, ini kerana ubat merupakan sains kompleks yang tidak mudah difahami oleh mereka yang tiada latar belakang dan ijazah perubatan.

Katanyam Menteri Kesihatan yang baharu perlu mempunyai pengalaman sekurang-kurangnya lima tahun dan sekiranya tiada Ahli Parlimen yang layak, kerajaan dicadangkan melantik seorang Senator dalam kalangan pakar perubatan. – MalaysiaGazette


Artikel oleh: Malaysia Gazette

TUBUH RCI SIASAT PEMBELIAN VAKSIN - PPIM

https://malaysiagazette.com/2022/11/26/tubuh-rci-siasat-pembelian-vaksin-ppim/

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL