KUALA LUMPUR: Langkah penjimatan yang dinyatakan Perdana Menteri, termasuk tidak membuat pengubahsuaian di pejabat menteri, membolehkan tumpuan diberi pada pembangunan negara dan menyelesaikan masalah rakyat.
Menyambut baik langkah itu, Presiden CUEPACS, Datuk Adnan Mat, berkata CUEPACS yakin langkah pertama itu adalah satu langkah tepat dan perlu diutamakan ketika ini berikutan jangkaan kos sara hidup yang bakal meningkat menjelang 2023.
Beliau berkata, semua kemudahan di pejabat menteri, sudah lengkap, malah lebih baik daripada kebanyakan pejabat kerajaan, khususnya di luar bandar.
"Semua pejabat jabatan kerajaan atau kementerian di Putrajaya dan Kuala Lumpur sudah ada kemudahan yang mencukupi untuk mereka mula bekerja, termasuk segala kemudahan perabot dan alat tulis.
"Tidak ada keperluan untuk mereka menambah baik peralatan pejabat khususnya perabot. Pejabat di Putrajaya dan Kuala Lumpur sudah lengkap. Masuk pejabat, boleh terus mula kerja.
"Untuk memenuhi cita rasa peribadi, walaupun kerajaan ada menyediakan peruntukan, ia dilihat sebagai proses buang masa dan membazir duit kerajaan kerana kemudahan itu sudah sedia ada dan fungsinya tetap sama," katanya kepada BH.
Mengulas lanjut, Adnan berkata, cita rasa peribadi tidak dapat membantu rakyat, sebaliknya usaha dan hasil kerja anggota Kabinet membantu rakyat adalah lebih penting.
Berkongsi pendapat sama, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam (PPIM), Datuk Nadzim Johan, berkata tindakan Perdana Menteri itu paling diperlukan oleh rakyat ketika ini.
Beliau berkata, subsidi minyak yang menelan belanja puluhan bilion ringgit perlu ditangani segera dan langkah penjimatan di peringkat kepemimpinan negara adalah satu langkah yang baik.
"Pemimpin harus tegas, menunjukkan contoh yang baik. Perubahan itu datang dari atas. Perkara kecil seperti menukar permaidani dan sebagainya, nampak kecil tetapi impaknya besar," katanya.
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata langkah penjimatan oleh Ahli Parlimen tidak terhenti di peringkat pengubahsuaian pejabat.
"Ketika saya masuk Kementerian Sumber Asli, saya kurangkan perbelanjaan makanan dalam pejabat ketika mesyuarat. Melalui Ketua Setiausaha kementerian, saya beritahu, saya tak mahu lihat lagi pembaziran makanan seperti itu.
"Jika mesyuarat tengah hari, hanya makanan tengah hari disediakan, tidak perlu pagi, minum petang, minum pagi dan sebagainya," katanya ketika dihubungi.
Beliau berkongsi pengalaman bermesyuarat di luar negara, yang mana tiada makanan berat dan banyak dihidangkan ketika mesyuarat.
"Kebiasaannya, mungkin air dan sedikit kudapan seperti biskut dan sebagainya. Tapi di Malaysia, satu mesyuarat sehingga lima kali makan. Jika dapat kurangkan perbelanjaan seperti ini, kementerian dapat jimat jutaan ringgit," katanya.
Bekas Ahli Parlimen Batang Lupar itu berkata, beliau juga tidak membuat pengubahsuaian di pejabatnya dulu, kecuali menempah kerusi khas untuk masalah sakit belakang yang dialaminya.
Artikel oleh: Berita Harian
LANGKAH PENJIMATAN BANTU FOKUS PADA PEMBANGUNAN NEGARA, SELESAI MASALAH RAKYAT
No comments:
Post a Comment