PETALING JAYA – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menubuhkan sebuah platform yang dinamakan Gerakan Sukarelawan Rakyat (GSR) sebagai pusat rujukan untuk memilih pemimpin dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, platform itu ditubuhkan bagi mengembalikan kepercayaan rakyat kepada sistem demokrasi negara dengan memilih pemimpin yang mampu memperjuangkan hak mereka.
Kata beliau, selain menyediakan maklumat dan panduan, GSR juga membolehkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membuat saringan dalam setiap wakil rakyat yang bertanding.
“PPIM membuka pintu kepada mana-mana calon untuk bekerjasama. Jadi, dengan platform ini, aktivis GSR akan turun padang untuk menyebarkan maklumat betul dan tepat.
“Selain itu, kita juga mahu pastikan calon yang bertanding adalah berintegriti dan NGO akan memantau setiap pergerakan wakil rakyat yang dipilih selepas PRU15,” katanya ketika ditemui Kosmo! selepas pelancaran GSR di Pejabat PPIM di sini hari ini.
Turut hadir, wakil NGO daripada Dewan Perniagaan Melayu Malaysia, Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia dan Kasih Setia Malaysia.
Mengulas laporan Kosmo! sebelum ini mengenai rakyat lebih cenderung memilih parti berbanding calon, Nadzim berkata, pihaknya tidak menyebelahi mana-mana parti, namun akan mengangkat calon yang benar-benar layak.
“Persepsi sokong parti ini memang tidak salah namun itulah peranan NGO untuk ubah perkara tersebut. Contoh, kita nak sokong BN, memang ada calon yang kita sokong tapi bukan semua.
“Kita tidak mahu pemimpin yang terlibat dengan gejala rasuah dan seharusnya perlu ada integriti dan akhlak yang tinggi,” ujarnya.
Tambahnya, GRS juga adalah sebuah platfom untuk mengemukakan cadangan calon yang terbaik untuk pengundi melalui www.gsrpru15.com.
“PPIM dan pihak NGO mengharapkan agar rakyat membuka mata dan tidak membuat kesilapan lagi dalam pemilihan wakil rakyat akan datang,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE
Artikel oleh: Kosmo
PPIM TUBUH PLATFORM BANTU NGO, RAKYAT PILIH PEMIMPIN
https://www.kosmo.com.my/2022/11/08/ppim-tubuh-platform-bantu-ngo-rakyat-pilih-pemimpin/
No comments:
Post a Comment