Friday, November 11, 2022

'HENDAK PILIH PEMIMPIN SAMA SEPERTI CARI PASANGAN HIDUP' - SINAR HARIAN - 10/11/2022

 

SHAH ALAM - "Hendak pilih pemimpin sama seperti mencari pasangan hidup yang boleh menjaga kita dengan sebaiknya," demikian tegas Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan.

Beliau yang terkenal dengan panggilan Tokki berkata, tidak salah untuk memilih pasangan hidup berdasarkan kecantikan rupa paras, status keluarga serta taraf pendidikan sebagai pakej yang diinginkan.

Bagaimanapun katanya, sekiranya calon yang dipilih itu tidak mempunyai akhlak, maka semua kelebihan yang ada seakan tidak berguna untuk membentuk sebuah keluarga yang bahagia dan harmoni.

Tegasnya, perkara sama juga diguna pakai dalam memilih pemimpin yang boleh menjaga rakyat dengan baik dan membawa negara ke mercu kejayaan.

"Jadi perkara ini adalah realiti kehidupan. Kalau pilih pemimpin dan kemudiannya kena tipu, kita yang akhirnya menangis dan terasa macam terkena jerangkap samar.

"Oleh sebab itu, kita kena ajar pengundi di luar sana tentang kriteria yang diperlukan sebagai seorang pemimpin. Perkara utama yang perlu diberi perhatian terhadap calon yang bertanding adalah mengenai akhlak mereka.

"Pilihan raya bukan satu perkara main-main kerana ia akan mencorak kita ke satu daerah yang kita sendiri tidak tahu. Sekiranya tersilap pilih pemimpin, ia akan menimbulkan huru hara bukan sahaja kepada masyarakat malah kepada negara," katanya.

Nadzim ketika menjadi tetamu rancangan Kompas Rasuah Busters Edisi Khas PRU15 bertajuk 'Drama Raih Undi Bermula' yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Khamis.
Nadzim ketika menjadi tetamu rancangan Kompas Rasuah Busters Edisi Khas PRU15 bertajuk 'Drama Raih Undi Bermula' yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu rancangan Kompas Rasuah Busters Edisi Khas PRU15 bertajuk 'Drama Raih Undi Bermula' yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Khamis.

Rancangan tersebut dihoskan oleh Asmaliza Mansor.

Mengulas lanjut, Nadzim berkata, PPIM sering menerima panggilan daripada orang ramai yang bertanyakan siapakah yang perlu diundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini dan apakah kayu ukur untuk menilai calon terbaik.

Beliau berkata, bukan mudah untuk memeriksa latar belakang dan keperibadian sebenar calon-calon bertanding, namun pengundi boleh melihat sejauh mana akhlak yang dipamerkan dan kewibawaan calon.

Menurutnya, masyarakat pastinya tidak mahu sekadar seorang pemimpin yang kacak serta cantik sahaja, tetapi boleh menjalankan tugas kepimpinan dengan baik dan cekap malah tidak menyusahkan rakyat.

Tegasnya lagi, pengundi perlu membuat pilihan bijak dengan tidak memilih mereka yang suka mengambil kesempatan, tidak terlibat dengan salah laku dan amalan rasuah, selain boleh menghasilkan yang terbaik buat rakyat dan negara.

Sementara itu Nadzim berkata, pengundi yang akan memilih pada PRU15 perlu membuat penilaian kepada faktor calon dan bukannya memilih berdasarkan parti.

Jelasnya, perkara itu penting kerana negara memerlukan individu-individu yang mempunyai akhlak baik dalam memimpin negara dan jika dinilai daripada sudut parti, pelbagai permasalahan serta isu yang akan timbul.

"Ya kita tahu, hendak pilih orang sebagai pemimpin bukan satu perkara yang senang. Hendak pilih Presiden parti pun sukar, inikan pula mencari seorang calon yang bersih dan berakhlak baik untuk diangkat sebagai pemimpin negara.

"Namun rakyat boleh membuat pilihan dengan bebas kerana rakyat tidak terhutang budi. Rakyat tidak perlu terpengaruh dan jangan takut pada wakil rakyat mereka, sebaliknya pemimpin yang perlu terhutang budi dengan pemilihnya.

"Saya juga hendak cadangkan supaya calon-calon pemimpin perlu pergi kursus kepimpinan. Mereka perlu ada asas kepimpinan dan kursus itu juga kena ajar tentang akhlak serta adab seorang pemimpin. Jika tidak, ia akan menjadi huru-hara sebab semua pun hendak ikut mereka sahaja," katanya.

Artikel oleh: Sinar Harian

'HENDAK PILIH PEMIMPIN SAMA SEPERTI CARI PASANGAN HIDUP'

https://www.sinarharian.com.my/article/230475/khas/rasuah-busters/hendak-pilih-pemimpin-sama-seperti-cari-pasangan-hidup

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL