Friday, July 30, 2021

5827) 'INFAQ REZEKI PASTIKAN KEPERLUAN KHASIAT UNTUK SI KECIL' - PPIM - ASTRO AWANI - 30/07/2021

 

KUALA LUMPUR: Tatkala ramai hilang punca pendapatan, nasib keluarga yang mempunyai anak kecil mahupun bayi diberi tumpuan.

Bantuan makanan melalui program Infaq Rezeki kendalian Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dilihat mampu menjamin kanak-kanak berkenaan terus mendapat pemakanan berkhasiat.

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan menjelaskan ia usaha mengelakkan ada bayi yang diberikan air kosong, sirap dan teh bagi menggantikan susu.

"Ujian ini sebenarnya untuk kita bersama-sama menghadapinya dan membantu saudara-saudara kita. Berdasarkan maklum balas yang kami terima melalui Unit Kebajikan PPIM yang telah mengagihkan Infaq Rezeki, golongan penerima yang mempunyai anak kecil juga memerlukan bantuan susu dan lampin pakai buang bagi anak-anak kecil ini, ibu bapa mereka tidak mampu menyediakannya kerana hilang punca pendapatan.

"Ada di antara anak-anak kecil ini diberikan air kosong, sirap dan teh bagi menggantikan susu. Sangat menyedihkan kerana ia akan mengakibatkan anak-anak ini tidak mendapatkan keperluan khasiat yang secukupnya, mereka ini merupakan golongan asnaf dan B40 yang sangat terkesan ketika kita semua berhadapan pandemik COVID-19," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Terdahulu, Unit Kebajikan PPIM bersama Manjaku Baby Mall dan beberapa organisasi serta penyumbang berganding bahu bagi menyalurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan.

Dalam pada itu jelas Nadzim, pihaknya mahu penerima manfaat Infaq Rezeki merasakan masih ada yang peduli dan sayang kepada mereka.

"Sebelum ini, bentuk bantuan yang diberikan adalah berupa barangan asas keperluan dapur tetapi hari ini apabila Manjaku Baby Mall mahu berkolaborasi memberi tajaan barangan keperluan bayi dan kanak-kanak, ia akan melengkapkan lagi keperluan penerima manfaat dan membantu meringankan beban mereka," ujarnya.

Mengulas isu sama, Ketua Operasi Unit Kebajikan PPIM, Siti Khadijah Hassan Berseri berkata, sehingga hari ini, sebanyak lebih 100,000 penerima manfaat Infaq Rezeki telah disalurkan melalui jalinan kerjasama daripada pelbagai pihak.

"Insha Allah ia akan memberikan impak positif dan kami sentiasa membuka ruang kepada mereka yang ingin bersama-sama dalam Misi Bantuan Infaq Rezeki agar lebih ramai akan menerima manfaat.

"Dana bagi gerak kerja ini dikumpulkan melalui sumbangan orang ramai (crowdfunding) menggunakan platform dalam talian iaitu sumbangan.com," jelasnya.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Manjaku Baby Mall, Lee Chee Liang berkata, pihaknya telah berkolaborasi bersama Unit Kebajikan PPIM dengan menyalurkan sumbangan sebanyak RM190,000 bagi kempen Infaq Rezeki.

"Ia termasuk sumbangan berupa barangan keperluan bayi dan kanak-kanak, seperti lampin pakai buang, susu bayi, pembasmi kuman, makanan bayi dan juga pelitup muka.

"Kami berharap kerjasama ini dapat membantu mereka yang memerlukan dan membina masa depan yang lebih baik untuk generasi akan datang," jelasnya.

Kempen Infaq Rezeki anjuran PPPIM di bawah selian Unit Kebajikan PPIM turut melibatkan jalinan kerjasama beberapa organisasi seperti sumbangan.com (Gerbang Sumbangan Sdn Bhd), Yayasan Patriot Negara Malaysia (YPNM), Icon Production Sdn Bhd dan SATRIA Intelligence Agency Sdn Bhd.


Artikel oleh: Astro Awani

'INFAQ REZEKI PASTIKAN KEPERLUAN KHASIAT UNTUK SI KECIL' - PPIM

https://www.astroawani.com/berita-malaysia/infaq-rezeki-pastikan-keperluan-khasiat-untuk-si-kecil-ppim-311126

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...