Saturday, July 17, 2021

5803) ZAMSAHAM KESAL ISU EKA NOODLES BELUM SELESAI, DESAK EGM DIBUAT BULAN DEPAN - MALAKAT TRIBUNE - 16/07/2021

 

CYBERJAYA – Salah seorang pemegang saham terbesar dalam syarikat bihun terkenal, EKA Noodles Bhd (EKA Noodles), Norizam Tukiman mendesak supaya satu mesyuarat agung luar biasa (EGM) diadakan segera pada bulan depan bagi menyingkirkan pengarah sedia ada dan digantikan dengan pengarah baharu.

Norizam yang juga usahawan Zamburger dan pakar pelaburan berkata, ini kerana selepas berjaya memiliki lebih 30 peratus saham dalam EKA Noodles bersama-sama dengan rakan sekutunya, pihaknya telah dinafikan hak dalam syarikat tersebut.

Malah, katanya, permintaannya untuk bekerjasama dengan pengarah lama syarikat berkenaan juga ditolak secara mentah.

“Dalam senarai nama pemilik saham terbesar dalam kilang bihun tersebut, nama saya merupakan pemilik saham terbesar tetapi sampai sekarang dalam rekod Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) nama saya tiada tercatat tetapi yang ada hanya alamat rumah sahaja. Saya pun hairan bagaimana boleh jadi sedemikian.

Rangkaian produk EKA Noodles


“Saham dalam syarikat ini saya beli ketika semua orang termasuk pengarah EKA forceselling menjual hingga turun harga satu sen pada pada 22 Mei lalu. Apabila orang menjual, saya membeli di pasaran secara terbuka iaitu beberapa hari sebelum syarikat ini digantung dan dinyahsenarai daripada Bursa Malaysia.

“Bagaimanapun, hak saya dalam syarikat ini seolah-olah dinafikan selepas saya menghantar permohonan sebagai pemegang saham utama kepada setiausaha syarikat dan memohon untuk diadakan EGM bagi menukar kesemua pengarah syarikat sedia ada kepada pengarah baharu, tidak dilayan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar Isu Pemegang Saham Eka Noodles bersama Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan yang disiarkan secara langsung hari ini.

Pada 31 Mei lalu, EKA Noodles menjelaskan usahawan Zamburger dan pakar pelaburan itu bukannya pemegang saham syarikat terbabit.

Dalam satu kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini, EKA Noodles berkata, Norizam bukannya pemegang saham syarikat seperti yang terdapat dalam Rekod Penyimpanan setakat 27 Mei 2021.

Sementara itu, Norizam yang juga pemilik kelab bola sepak Kelantan FC berkata, sebagai pemegang saham terbesar, beliau hairan dengan sikap dan pendirian yang diambil oleh setiausaha syarikat terbabit dengan isu berkenaan.

Sehubungan itu, Norizam memohon bantuan mana-mana pihak terutamanya agensi kerajaan yang terlibat dapat menyelesaikan isu tersebut segera dan memanggil dengan segera EGM berkenaan.

“Di situ saya sudah nampak (permainan mereka) dan terkini kita nak buat EGM luar biasa baru-baru ini pengarah EKA Noodles memberikan kepada saya senarai pemegang saham yang lama, di mana nama saya sendiri tiada.

“Jadi, jika saya hendak buat EGM bagaimana saya hendak panggil pemegang saham kalau senarai register depositor (ROD) terkini tiada, saya sangat memerlukan senarai ini,” ujarnya.

Norizam berkata, sekiranya EGM itu berjaya dilangsungkan dan dipersetujui secara majoriti, beliau akan bertindak sebagai pengarah baharu syarikat bihun terkenal itu.

Toqqi


Dalam pada itu, Nadzim atau lebih dikenali sebagai Toqqi berkata, PPIM akan sentiasa memberikan sokongan kepada Norizam dan pasukannya dalam isu berkenaan supaya umat Islam mendapat bekalan makanan daripada sumber yang halal dan baik.

Pada masa sama, beliau juga meminta agensi kerajaan yang bertanggungjawab untuk tampil dan turut membantu berhubung isu tersebut supaya ia tidak terus tergantung.-MT


Artikel oleh: Malakat Tribune

ZAMSAHAM KESAL ISU EKA NOODLES BELUM SELESAI, DESAK EGM DIBUAT BULAN DEPAN

https://www.malakattribunenews.com/2021/07/zamsaham-kesal-isu-eka-noodles-belum-selesai-desak-egm-dibuat-bulan-depan/

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...