Kuala Lumpur: Wujudnya Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) bukan sekadar membantu kerajaan, tetapi lebih utamanya adalah menjadi tulang belakang golongan memerlukan dan menyokong mereka khususnya ketika tempoh sukar pandemik Covid-19.
Sejak wabak itu melanda negara setahun lalu, sekurang-kurangnya RM10 juta sudah dibelanjakan beberapa NGO dalam bentuk barang keperluan dan pek makanan, untuk menolong rakyat kesusahan yang sehingga kini memanfaatkan ribuan isi rumah di seluruh negara.
Bahkan, rakyat melihat usaha itu sebagai bukti kasih sayang antara rakyat Malaysia yang sangat utuh ketika negara menghadapi musibah.
Ketua Aktivis Kemanusiaan, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Dr Ahmad Sani Araby Alkahery berkata, kira-kira RM6 juta sudah dibelanjakan dan pihaknya menggunakan sistem i-Ummah untuk mengesan keluarga memerlukan serta melakukan penghantaran.
"Kita ada pusat pengumpulan data asnaf yang merekodkan maklumat terkini rakyat memerlukan daripada kategori T20, M40 tetapi menjadi B40 ketika tempoh pandemik ini.
"Seperti NGO lain, kita juga bekerjasama dengan pihak Zakat, Majlis Agama Islam Negeri, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta masjid dan jawatankuasa kampung," katanya di sini.
Sementara itu Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, pihaknya menerusi platform Sumbangan.com sudah membantu lebih 100,000 keluarga dengan jumlah bantuan bernilai RM2 juta.
Antara kotak mengandungi barangan bantuan kepada orang ramai yang dikendalikan MAPIM. |
Katanya, inisiatif dilakukan dengan kerjasama masyarakat dan syarikat korporat yang mahu membantu.
"Platform ini kita jayakan semata-mata untuk membantu rakyat yang terjejas sejak PKP 1.0 lagi. Alhamdulillah, ia menampakkan hasil," katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Pengguna Jalan Raya Kebangsaan (PPJK), Mohammad Hisham Shafie berkata, pihaknya aktif menyampaikan pek makanan yang hingga kini sudah mencapai lebih RM300,000.
Menurutnya, bantuan itu disediakan dengan kerjasama syarikat korporat dan dermawan.
Bagi Presiden Amal Ehsan Care (AEC) Kelana, Putra Muhamad, kesusahan dialami rakyat mendorong pihaknya mengaktifkan bantuan keperluan asas yang bernilai lebih RM230,000 setakat ini.
Turut sama adalah NGO, Laskar Siber Malaysia yang menggerakkan 50 sukarelawannya untuk menyantuni keluarga miskin bagi menyerahkan bantuan bernilai keseluruhan RM70,000.
Dalam pada itu pemerhatian wartawan di beberapa platform media sosial mendapati, usaha membantu rakyat oleh NGO menerima pujian warganet malah, ada antaranya terdorong untuk menghulur bantuan meskipun sekadar menjadi tempat meluah nasib.
Rata-rata mereka yang terkesan pula mengucap kesyukuran atas pertolongan itu yang hadir ketika mereka bergelut untuk meneruskan kelangsungan hidup.
Artikel oleh: Harian Metro
SUMBANGAN, SOKONGAN NGO TANDA KASIH SAYANG SESAMA RAKYAT MALAYSIA
No comments:
Post a Comment