Thursday, July 22, 2021

5811) BARANG KAWALAN PERLU ADA LOGO, CIRI KESELAMATAN TINGGI - BERITA HARIAN - 21/07/2021

 

KUALA LUMPUR: Penggunaan logo khas pada barang kawalan dan bersubsidi di pasaran perlu diletakkan sekali dengan ciri keselamatan tinggi supaya tidak berlaku ketirisan bagi mengekang penyeludupan.

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata jika hanya logo biasa saja, tidak mustahil ia boleh dipalsukan dan kaedah itu hanya sia-sia saja.

Katanya, penggunaan logo khas dengan ciri keselamatan itu penting untuk mengelakkan penyeludupan, berbanding di pasaran tempatan kerana ramai yang sudah mengetahui jenis barang kawalan berkenaan.

Timbalan Presiden FOMCA, Mohd Yusof Abdul Rahman.

"Selain itu, kawalan ketat di pintu sempadan juga perlu ada kerana pihak berkuasa sudah maklum semua jenis barangan kawalan daripada terlepas ke luar.

"Ini memandangkan kerajaan mengalami kerugian besar akibat ketirisan dalam isu penyeludupan ini.

"Tetapi bagi saya, tiada keperluan mendesak atau apakah nilai tambah untuk meletakkan logo khas pada barang kawalan dan bersubsidi di pasaran, sekiranya tiada pengawalan ketat di pintu sempadan negara itu sendiri," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Kelmarin, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid menyatakan penggunaan logo khas itu akan dilaksanakan secara berperingkat bermula bulan ini membabitkan 12 barangan bagi memudahkan pengguna serta menangani isu penyeludupan.

Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan, berkata apabila satu sistem sudah disamaratakan, ia boleh memudahkan pelbagai urusan.

Katanya, kini banyak perkara masih tidak jelas dalam kalangan masyarakat dan pendekatan dilakukan ini sekurang-kurangnya mampu menjadikan semua orang cakna dengan pelbagai perkara.

"Apabila ramai cakna dengan perkara ini dan jika berlaku penyeludupan, orang ramai boleh segera melaporkan kepada pihak berkuasa berbanding sebelum ini yang mungkin kurang jelas mengenai barang berkenaan.

"Mereka juga boleh menjadi mata dan telinga untuk lebih bertanya apakah tujuan barang berkenaan jika dibawa keluar dan sebagainya. Di sebalik logo itu wujud pendekatan ambil berat dalam diri setiap orang," katanya.


Artikel oleh: Berita Harian

BARANG KAWALAN PERLU ADA LOGO, CIRI KESELAMATAN TINGGI

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/07/841743/barang-kawalan-perlu-ada-logo-ciri-keselamatan-tinggi

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...