Saturday, July 3, 2021

5760) TAK BOLEH LARI DARI AH LONG ANTARA SEBAB BUNUH DIRI - MALAYSIA POST - 30/06/2021


 “DULU tak boleh bayar ah long boleh lari, sekarang masalah lagi bertambah sebab kena berkurung,” kata Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan. 

Beliau mengakui situasi ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) antara faktor menyebabkan ada yang mengambil keputusan membunuh diri kerana hilang punca untuk keluar daripada masalah hutang. 

Menurutnya, kes perceraian dan masalah rumah tangga juga meningkat sejak PKP dilaksanakan bagi memerangi Covid-19. 

“Masalah rakyat bertambah. Dulu mereka (yang berhutang dengan ceti haram) boleh lari kalau tak boleh bayar ah long. Sekarang kena berkurung sebab PKP. Kalau keluar rumah kena saman dengan polis. 

“Akhirnya ada antara mereka ambil keputusan bunuh diri. Kes perceraian juga semakin meningkat,” katanya kepada Malaysiapost. 

Nadzim berkata, kerajaan seharusnya menetapkan peraturan di mana semua pinjaman hanya melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT). 

Katanya, bayaran bunga atau ‘interest’ pula perlu selaras dan rendah bagi tujuan membantu golongan yang memerlukan untuk kelangsungan hidup. 

“Kerajaan perlu pandang serius hal ah long ini. Kena uruskan supaya ah long tidak sewenang-wenang buat tindakan sendiri. 

“Jangan bagi peluang kepada agensi untuk beri pinjaman. Kerajaan kena tetapkan pinjaman dari KPKT. Contoh Amanah Ikhtiar dan sebagainya,” katanya lagi. 

Pada masa sama, Nadzim memberitahu kadar peratusan peminjam ah long meningkat dalam kalangan masyarakat sejak PKP dilaksanakan. 

Beliau menjelaskan, PPIM banyak menerima laporan berkenaan masalah peminjam ah long dan kesulitan mereka untuk melunaskan bayaran pinjaman yang dibuat. 

“Peminjam ah long meningkat dalam 30 peratus sejak wabak Covid-19 melanda negara,” katanya lagi. 

Sebelum ini media melaporkan syarikat pinjaman berlesen dan ceti haram menjadi tumpuan terutama mereka yang terjejas ketika pandemik Covid-19 mendapatkan sumber kewangan. 

Walaupun kadar faedah dikenakan hingga mencecah 40 peratus, namun orang ramai sanggup memilih jalan singkat itu demi kelangsungan hidup


Artikel oleh: Malaysia Post

TAK BOLEH LARI DARI AH LONG ANTARA SEBAB BUNUH DIRI

https://malaysiapost.com.my/2021/06/30/tak-boleh-lari-dari-ah-long-antara-sebab-bunuh-diri-ppim/

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...