Tuesday, June 29, 2021

5754) WUJUD TANGAN GHAIB MAHU JATUHKAN SERBA DINAMIK - MALAKAT TRIBUNE - 28/06/2021

CYBERJAYA – Kemelut yang mencetuskan kerugian sehingga RM3 bilion kepada syarikat penyedia perkhidmatan minyak dan gas utama negara, Serba Dinamik Holdings Berhad dipercayai ‘didalangi tangan-tangan ghaib’ yang cuba menjatuhkan syarikat milik bumiputera itu.

Pengasas Kumpulan Malakat Mall, Fadzil Hashim berkata, berdasarkan kronologi ‘luar biasa’ yang sedang dihadapi Serba Dinamik ketika ini, beliau percaya ada usaha yang sedang dilakukan untuk mewujudkan kerugian kepada syarikat itu.

“Saya melihat cara pengendalian dan penyelesaian situasi yang dihadapi oleh Serba Dinamik pada ketika ini seperti ‘membakar jambatan’.

“Kejadian-kejadian yang berlaku juga sangat mengejutkan kita kerana banyak kronologi yang menimbulkan tanda tanya seolah-olah ada tangan-tangan tersembunyi yang cuba menjatuhkan syarikat ini.

“Sepatutnya ia dibuat melalui proses secara profesional supaya tiada pemegang saham tidak teraniya.

“Tapi perkara seperti ini bukanlah yang pertama berlaku kerana syarikat ini adalah syarikat tersenarai awam (PLC) bumiputera yang paling berjaya dalam industri ini,” katanya pada sesi Live itu menerusi Zoom bersama Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan hari ini.

Sebelum ini, Serba Dinamik memfailkan tuntutan sivil terhadap juruaudit luarannya atas dakwaan kecuaian profesional, pelanggaran kontrak dan pelanggaran kewajipan statutori.

Sehubungan itu, Mohd Fadzil atau lebih dikenali sebagai Coach Fadzil menyeru supaya pemegang-pemegang saham utama khususnya syarikat milik kerajaan (GLC) tidak melepaskan pegangan saham mereka bagi mengelak kerugian lebih besar ditanggung syarikat itu.

Katanya, pelepasan saham oleh GLC seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) secara berterusan akan memberi impak berskala besar termasuk kepada pelabur kecil, syarikat berkaitan industri dan lebih 5,000 kakitangan syarikat itu.

Selain itu beliau juga menyeru kepada umat Islam supaya membeli saham syarikat itu yang kini berada pada harga terendah sebagai tanda sokongan kepada syarikat tempatan bertaraf global.

“Kerajaan juga perlu melakukan sesuatu dan membincangkan bagaimana cara untuk menyelamatkan syarikat ini daripada serangan keji yang sedang direncanakan.

“Kita minta kerajaan menjadi ‘defender‘ kepada syarikat ini dalam situasi sekarang ini,” ujarnya yang mengaku tidak mempunyai sebarang kepentingan dalam syarikat berkenaan.

Cadangan beliau itu katanya adalah sebagai tanda sokongan kepada usaha menyelamatkan syarikat milik bumiputera bertepatan dengan hadis Rasulullah SAW berbunyi; “Barang siapa yang melepaskan kesusahan seorang mukmin, pasti Allah akan lepaskan kesusahan baginya pada hari kiamat.

Sementara itu dalam kenyataan bersama Nadzim Johan atau Tokki, Mohd. Fadzil menyatakan sokongan kepada Lembaga Pengarah Serba Dinamik, Datuk Dr. Mohd Abdul Karim Abdullah dan barisan pengurusan kanan syarikat berkenaan.

“Kami menyokong tindakan menyaman auditor itu sebagai langkah memulihkan integriti korporat dan seterusnya mengembalikan keyakinan pelabur kepada saham Serba Dinamik.

“Tindakan auditor berkenaan dengan jelas telah menghilangkan keyakinan pelabur dan menyebabkan penurunan saham berjumlah lebih RM5 bilion.

“Kami pelik dengan apa yang berlaku dan keputusan pra matang yang tidak profesional oleh badan audit, betapa tergesa-gesanya dan berlaku sebelum ada pembuktian yang konklusif,” katanya.

Selain itu menurut Mohd Fadzil, terdapat juga usaha secara ‘bersungguh-sungguh’ untuk menjatuhkan syarikat melalui ‘serangan berita berat sebelah’ yang disiar secara berulang-ulang.

Dalam pada itu, Nadzim berkata, pihaknya menggesa supaya satu usaha dan penyelesaian yang baik dapat dilakukan demi menyelamatkan syarikat yang sudah bertapak sejak 27 tahun dan melakar banyak kejayaan itu.

“Kita mahukan satu solution itu membantu bukan merosakkan. Sebab kalau dilihat pada pencapaian kewangan, jualan dan keuntungan syarikat ini berada pada tahap yang sangat baik.

“Kami berharap rakan-rakan pelabur runcit supaya bersabar dan terus menyokong syarikat ini. Jangan panik kerana kita yakin usaha sedang dilakukan,” katanya.


Artikel oleh: Malakat Tribune

WUJUD TANGAN GHAIB MAHU JATUHKAN SERBA DINAMIK

https://www.malakattribunenews.com/2021/06/wujud-tangan-ghaib-mahu-jatuhkan-serba-dinamik/

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...