Wednesday, June 9, 2021

5688) JANGAN LENGAH POLEMIK MORATORIUM - NGO - UTUSAN MALAYSIA - 09/06/2021

 

PETALING JAYA: Kerajaan digesa mengambil tindakan proaktif dan tanpa lengah menghentikan polemik moratorium bagi meringankan beban rakyat khususnya golongan B40 dan M40 dalam tempoh pelaksanaan sekatan pergerakan penuh ini.

Koordinator Gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu dan Islam, Ahmad Yazid Othman berkata, kerajaan perlu tegas mengarahkan pihak pemberi pinjaman seperti bank, peminjam berlesen, syarikat kredit dan koperasi memberikan moratorium secara automatik selama enam bulan kepada golongan tersebut.

Ujarnya, moratorium automatik amat diperlukan oleh rakyat berikutan kerajaan tidak mampu memberikan bantuan tunai yang setimpal dengan kos kerugian yang ditanggung mereka.

“Bantuan yang diberikan setakat ini jauh lebih rendah daripada Garis Kemiskinan Kebangsaan. Kebanyakan rakyat yang terbeban dengan hutang pinjaman sewaktu krisis wabak Covid-19 ini, moratorium automatik amat penting seperti perkara ‘hidup atau mati’ untuk menampung kehidupan harian.

“Pemberian moratorium automatik bukan sahaja dapat membantu mereka menjalani kehidupan, malah mampu menghindarkan mereka daripada terjebak dengan hutang ah long dan masalah sosial yang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan bersama yang turut disokong lebih 20 NGO antaranya Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Pertubuhan Pembela Islam (Pembela), Majlis Tindakan Ekonomi Melayu Bersatu Berhad (MTEM), Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM), Persatuan Jihad Ekonomi Muslim Bersatu (Jietu) serta Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (Pekema).

Ahmad Yazid menegaskan, pihaknya menyeru kerajaan menggunakan segala kuasa yang diberikan oleh Yang di-Pertuan Agong dalam situasi darurat ini termasuk mengguna pakai Ordinan Darurat bagi menangani krisis ekonomi dan kesihatan ini dengan berkesan.

“Rakyat memberikan kepercayaan kepada kepimpinan kerajaan untuk melaksanakan amanah tersebut demi kepentingan rakyat dan kami sedang memerhatikan setiap tindakan yang diambil sama ada benar-benar menggambarkan keprihatinan terhadap kumpulan majoriti rakyat yang terkesan atau tidak,” ujarnya.

Terdahulu, pelbagai pihak menuntut pemberian moratorium automatik seperti yang dilaksanakan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 tahun lalu bagi mengurangkan beban rakyat dan bukannya bersasar seperti yang diumumkan baru-baru ini.

Ini ekoran keuntungan sihat industri perbankan yang mencatatkan keuntungan selepas cukai sebanyak RM32.3 bilion pada 2019 dan RM23 bilion pada 2020.

Minggu lalu, Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz mendedahkan kerajaan bakal menanggung kos pampasan tidak diperlukan sama sekali kepada institusi perbankan sekiranya bertekad mahu moratorium pukal dilaksanakan kepada semua peminjam bank.

Katanya, tindakan memaksa pihak bank melakukan moratorium secara pukal pada waktu ini bermakna kerajaan mungkin akan menanggung kos pampasan untuk sesuatu yang jelas tidak diperlukan sama sekali dan lebih rela menyalurkan sumber ini (kos pampasan bank bagi melaksanakan moratorium pukal) untuk membantu rakyat dan perniagaan yang lebih memerlukannya. – UTUSAN ONLINE


Artikel oleh: Utusan Malaysia

JANGAN LENGAH POLEMIK MORATORIUM - NGO

https://www.utusan.com.my/ekonomi/2021/06/jangan-lengah-polemik-moratorium-ngo/

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...