Friday, June 18, 2021

5720) SYOR MORATORIUM SEMUA PINJAMAN HINGGA DISEMBER - BERITA HARIAN - 16/06/2021

 

KUALA LUMPUR: Gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Melayu dan Islam menggesa moratorium secara automatik tanpa faedah ditawarkan ke atas semua jenis pinjaman sehingga akhir tahun ini atau sehingga negara berjaya mencapai imuniti kelompok .

Koordinator Gabungan NGO Melayu dan Islam, Ahmad Yazid Othman, berkata perkara itu disepakati selepas menerima maklum balas dan perbincangan dengan ahli gabungan, ahli perniagaan, pakar ekonomi dan kewangan serta pimpinan setempat.

"Gabungan ingin menyatakan sokongan sepenuhnya terhadap seruan 14 NGO Ekonomi Kebangsaan berkenaan 'Moratorium Untuk Rakyat' iaitu melaksanakan serta-merta moratorium pinjaman automatik tanpa faedah ke atas semua jenis pinjaman," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kenyataan itu disokong bersama 27 NGO termasuk Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM ), Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) dan Majlis Tindakan Ekonomi Melayu Bersatu Berhad (MTEM).

Ahmad Yazid berkata, pihaknya urut mencadangkan moratorium pinjaman automatik diperluaskan skopnya termasuk bagi sektor peminjam berlesen iaitu penjualan secara kredit meliputi penggunaan kad kredit.

Katanya, ia merankumi pinjaman Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), pinjaman Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN), pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dengan tidak mengenakan sebarang caj tambahan atau faedah.

"Ia termasuk segala bentuk bayaran sewaan, lesen perniagaan dan lesen Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) selama tempoh moratorium ini berkuat kuasa," katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut bimbang kemungkinan Pelan Pemulihan Negara yang diumumkan semalam tidak mencapai matlamatnya jika kerajaan tidak peka dan responsif terhadap keadaan dan keperluan rakyat.

Justeru, pihaknya memohon kerajaan mempertimbangkan pemberian Bantuan Sara Hidup (BSH) sebanyak RM1,200 sebulan untuk tempoh enam bulan kepada mereka yang mempunyai pendapatan RM5,000 dan ke bawah.

"Selain itu, bantuan dalam bentuk pemberian subsidi upah untuk usahawan mikro, kecil, sederhana sekurang-kurangnya enam bulan, tanpa potongan PERKESO.

"Kami juga memohon semua bentuk premis, termasuklah premis perniagaan yang menerima manfaat moratorium diberikan penangguhan bayaran sewa dan tidak membenarkan tindakan pengusiran atau pengisytiharan muflis sekurang-kurangnya sehingga enam bulan selepas moratorium berakhir," katanya.

Pihaknya turut memohon supaya kerajaan memperkenalkan Waktu Anjal Bekerja (WAB) dan dimasukkan ke dalam Akta Pekerjaan 1950.

Katanya, ini dapat mengurangkan kesesakan pada waktu bekerja dalam usaha membendung penularan wabak COVID-19 berbanding memendekkan waktu perniagaan.


Artikel oleh: Berita Harian

SYOR MORATORIUM SEMUA PINJAMAN HINGGA DISEMBER

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/06/828423/syor-moratorium-semua-pinjaman-hingga-disember

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL