Tuesday, June 29, 2021

5751) KWSP, PNB DIGESA HENTIKAN PENJUALAN SAHAM SERBA DINAMIK - SINAR HARIAN - 28/06/2021

 

[DIKEMAS KINI] Pemegang saham utama Serba Dinamik Holdings Berhad seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) digesa menghentikan penjualan saham bagi mengelakkan syarikat itu terus mengalami kerugian.

Pengasas Malakat Mall, Mohd Fadzil Hashim berkata, penjualan saham turut memberi impak negatif kepada pelabur kecil.

Beliau berkata, pihaknya juga menyokong tindakan menyaman pihak auditor sebagai langkah pertama memulihkan integriti korporat dan seterusnya mengembalikan keyakinan pelabur terhadap Serba Dinamik Holdings Berhad.

“Kami juga menyeru semua rakyat Malaysia membeli 100 unit saham Serba Dinamik Holdings Berhad sebagai tanda sokongan terhadap syarikat anak tempatan yang berwibawa dan bertaraf global,” katanya pada sidang akhbar secara maya pada Isnin.

Hadir sama, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan.

Mohd Fadzil berkata, Serba Dinamik juga sedang berusaha untuk mengatasi isu dihadapi termasuk melakukan pertukaran besar dalam lembaga pengarah serta pengurusan kanan.

“Ingatlah, mata pencarian 5,000 keluarga akan terjejas sekiranya masalah ini terus meningkat dan dibiarkan.

Sebelum ini, KWSP telah melupuskan 481,000 saham dalam Serba Dinamik Holdings Bhd dengan mengurangkan pegangan sahamnya dalam kumpulan perkhidmatan minyak dan gas itu kepada 9.90 peratus.

KWSP dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, sebelum ini ia telah menjual 955,200 saham miliknya dalam kumpulan itu di pasaran terbuka pada 2 dan 3 Jun lepas.

Bagaimanapun, KWSP masih kekal sebagai pemegang saham utama dalam syarikat berkenaan dengan 367,411 juta saham.

Pada 22 Jun, Serba Dinamik mengumumkan tuntutan sivil bagi kerugian yang dialaminya telah difailkan ke atas KPMG berikutan kecuaian profesional, pelanggaran kontrak dan pelanggaran kewajipan statutori.

Dua hari kemudian, KPMG pula mengemukakan notis peletakan jawatan sebagai juruaudit Serba Dinamik berkuat kuasa serta-merta dengan menjelaskan tuntutan itu telah menjejaskan kemampuannya untuk meneruskan tugas audit secara bebas dan melaksanakan tanggungjawab profesional.

Pertikaian pengauditan tersebut timbul daripada tindakan KPMG untuk mengetengahkan percanggahan melibatkan transaksi berjumlah RM4.54 bilion pada Mei tahun ini.

Pada Jumaat, Serba Dinamik mengumumkan keuntungan bersih berjumlah RM113.32 juta dan perolehan RM1.38 bilion bagi suku berakhir 31 Mac 2021 disumbangkan terutama oleh segmen operasi dan penyelenggaraan serta segmen kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pentauliahan.


Artikel oleh: Sinar Harian

KWSP, PNB DIGESA HENTIKAN PENJUALAN SAHAM SERBA DINAMIK

https://www.sinarharian.com.my/article/146871/BISNES/KWSP-PNB-digesa-hentikan-penjualan-saham-Serba-Dinamik

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...