Tuesday, June 29, 2021

5753) GESA KERAJAAN SELAMATKAN SERBA DINAMIK - BEBAS NEWS - 28/06/2021

 

KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa melakukan sesuatu dan berusaha membincangkan untuk menyelamatkan dan menolong Serba Dinamik Holdings Berhad yang berdepan dengan kemelut yang mencetuskan kerugian sehingga RM3 bilion.

Syarikat penyedia perkhidmatan minyak dan gas utama negara itu dipercayai ‘didalangi tangan-tangan ghaib’ yang cuba menjatuhkan syarikat milik bumiputera itu.

Justeru,pelabur runcit dinasihatkan terus bersabar dan tidak sewenang-wenangnya menjual saham mereka berikutan kemelut syarikat itu yang dikhuatiri menyebabkan kerugian besar sekiranya berlarutan.

Pengasas Kumpulan Malakat Mall, Fadzil Hashim berkata, berdasarkan kronologi yang ‘luar biasa’ dihadapi Serba Dinamik ketika ini, beliau percaya ada usaha yang sedang dilakukan untuk mewujudkan kerugian kepada syarikat itu.

“Saya melihat cara pengendalian dan penyelesaian situasi yang dihadapi oleh Serba Dinamik pada ketika ini seperti ‘membakar jambatan’.

“Kejadian-kejadian yang berlaku juga sangat mengejutkan kita kerana banyak kronologi yang menimbulkan tanda tanya seolah-olah ada tangan-tangan tersembunyi yang cuba menjatuhkan syarikat ini.

“Sepatutnya ia dibuat melalui proses secara profesional supaya tiada pemegang saham tidak teraniya. Tapi perkara seperti ini bukanlah yang pertama berlaku kerana syarikat ini adalah syarikat tersenari awam (PLC) bumiputera yang paling berjaya dalam industri ini,” katanya pada sesi Live itu menerusi Zoom bersama Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan hari ini.

Sebelum ini, Serba Dinamik Holdings Berhad memfailkan tuntutan sivil terhadap juruaudit luarannya atas dakwaan kecuaian profesional, pelanggaran kontrak dan pelanggaran kewajipan statutori.

Menurut Fadzil, pihaknya dan Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan (Toqqi) berdiri teguh bersama kepimpinan Lembaga Pengarah, Datuk Dr. Mohd Abdul Karim Abdullah dan barisan pengurusan kanan syarikat berkenaan.

Dalam pada itu, Mohd Fadzil menyeru supaya pemegang-pemegang saham utama khususnya syarikat milik kerajaan (GLC) tidak melepaskan pegangan saham mereka bagi mengelak kerugian lebih besar ditanggung syarikat itu.

“Pelepasan saham oleh GLC seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) secara berterusan akan memberi impak berskala besar termasuk kepada pelabur kecil, syarikat berkaitan industri dan lebih 5,000 kakitangan syarikat itu,” ujarnya.

Selain itu beliau juga menyeru kepada umat Islam supaya membeli saham syarikat itu yang kini berada pada harga terendah sebagai tanda sokongan kepada syarikat tempatan.

“Saya menyeru bangsa Melayu untuk bangkit dengan membeli 100 unit saham Serba Dinamik Holdings Berhad yang kini bernilai RM400 sebagai tanda sokongan terhadap sebuah syarikat anak tempatan yang berwibawa dan bertaraf global,” tegasnya.

Sementara itu dalam kenyataan bersama Nadzim Johan atau Tokki, Mohd. Fadzil menyatakan sokongan kepada Lembaga Pengarah Serba Dinamik, Datuk Dr. Mohd Abdul Karim Abdullah dan barisan pengurusan kanan syarikat berkenaan.

“Kami menyokong tindakan menyaman auditor KPMG sebagai langkah memulihkan integriti korporat dan seterusnya mengembalikan keyakinan pelabur kepada saham Serba Dinamik.

“Tindakan auditor berkenaan dengan jelas telah menghilangkan keyakinan pelabur dan menyebabkan penurunan saham berjumlah lebih RM5 bilion.

“Kami pelik dengan apa yang berlaku dan keputusan pra matang yang tidak profesional oleh badan audit KPMG, betapa tergesa-gesanya dan berlaku sebelum ada pembuktian yang konklusif,” katanya.

Nadzmi berkata, pihaknya menggesa supaya satu usaha dan penyelesaian yang baik dapat dilakukan demi menyelamatkan syarikat yang sudah bertapak sejak 27 tahun dan melakar banyak kejayaan itu.

“Kita tidak ada kepentingan dengan syarikat berkenaan, tetapi hanya mahu membawakan kesedaran kepada pelabur-pelabur.

“Kita harapkan perkara tersebut dapat diuruskan dengan baik dan pelabur dinasihatkan jangan cepat melatah. Apa tindakan di Mahkamah itu, biarkan berjalan,” katanya.


Artikel oleh: Bebas News

GESA KERAJAAN SELAMATKAN SERBA DINAMIK

https://bebasnews.my/?p=63774&utm_source=rss&utm_medium=rss&utm_campaign=gesa-kerajaan-selamatkan-serba-dinamik

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...