Kuala Lumpur: Seorang penuntut jurusan perubatan sebuah universiti tempatan, di sini, mendakwa dilarang menduduki peperiksaan kelayakan kerana belum mendapatkan vaksin Covid-19.
Penuntut wanita berusia 22 tahun itu berkata, sebelum ini, dia memaklumkan kepada pihak universiti berkenaan bahawa tidak mahu mendapatkan suntikan vaksin.
"Namun atas desakan pihak universiti, saya akhirnya setuju mendapatkan vaksin dan memaklumkan perkara itu kepada pihak universiti pada April lalu.
"Malah, saya dimaklumkan pihak universiti akan memberikan tarikh janji temu saya mendapatkan vaksin. Namun, sehingga hari peperiksaan pada 8 dan 9 Jun lalu, saya tidak mendapat tarikh janji temu berkenaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya, ketika dia hadir untuk menduduki peperiksaan, pihak universiti melarangnya dan meminta dia meninggalkan dewan.
"Saya memohon untuk menduduki peperiksaan itu secara berasingan, namun permohonan berkenaan ditolak," katanya.
Dia hadir membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields dengan ditemani Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan.
Nadzim memaklumkan pihaknya mendesak satu siasatan yang lengkap dan menyeluruh dijalankan berhubung insiden berkenaan.
Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Annuar Omar ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu.
"Laporan itu dirujuk sebagai kes sivil," katanya.
Sementara itu, Pengarah Pejabat Komunikasi Korporat Universiti Malaya Mohd Khairi Md Jaafar berkata, pihaknya memandang serius perkara itu dan sedang menelitinya secara terperinci.
Katanya, Universiti Malaya juga terbuka untuk bekerjasama dengan semua pihak terbabit demi menyelesaikan perkara itu.
"Adalah menjadi tanggungjawab Universiti Malaya untuk menyediakan kampus yang kondusif dan selamat kepada warga kampus dalam berdepan dengan pandemik Covid-19.
"Malah, kami juga mengambil langkah berjaga-jaga yang diperlukan untuk memastikan risiko penyebaran jangkitan dalam kampus dapat dikawal," katanya.
Artikel oleh: Harian Metro
PENUNTUT UNIVERSITI BUAT LAPORAN POLIS DAKWA DIHALANG DUDUKI PEPERIKSAAN
No comments:
Post a Comment